Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Teruja dapat niaga di Geylang Serai semasa Ramadan

Apr 7, 2022 | 5:30 AM
RINDU SUASANA NIAGA DI GEYLANG: Encik Trisno sedang menyusun sandal yang dijual di kedai baru yang disewa untuk jangka pendek di TKC. - Foto ihsan TRISNO ISHAK
RINDU SUASANA NIAGA DI GEYLANG: Encik Trisno sedang menyusun sandal yang dijual di kedai baru yang disewa untuk jangka pendek di TKC. - Foto ihsan TRISNO ISHAK -

MESKIPUN telah mempunyai dua kedai di Orchard Gateway dan Jalan Pisang, penyanyi dan peniaga sandal jenama Grey By Ortenhill, Encik Trisno Ishak, tetap tidak mahu ketinggalan berniaga dalam suasana musim perayaan terutamanya di kawasan Geylang Serai.

Semasa sebelum Covid-19, beliau memang biasa menyewa gerai di bazar Raya.

Justeru, biarpun tidak mengambil gerai di bazar tahun ini, beliau teruja apabila mendapat tahu daripada rakannya bahawa Penguasa Tanah Singapura (SLA) memberi peluang kepada peniaga untuk menyewa kedai kosong di pusat beli-belah Tanjong Katong Complex (TKC) bagi tempoh jangka pendek sempena Ramadan ini.

"Ia merupakan konsep yang sangat baik kerana dari membiarkan kedai itu kosong, lebih baik disewakan kepada peniaga yang memerlukan, lebih-lebih lagi ketika ini bazar Raya juga tidak berskala besar. Semasa Ramadan ini, kawasan Geylang merupakan tumpuan masyarakat untuk membeli-belah dan suasananya memang cukup meriah. Saya rasa baik saya mempunyai tempat di kawasan ini walaupun saya sudah ada dua kedai,'' kata Encik Trisno, berusia 40an tahun dan mula berniaga di TKC sejak 1 Ramadan lalu.

Beliau, yang mendapat kedai di tingkat tiga TKC, gembira mendapat tempat yang selesa, berhawa dingin dan amat strategik.

Kali terakhir beliau berniaga di bazar Raya di Geylang Serai adalah pada 2019 dan sejauh ini penjualan cukup menggalakkan kerana ia meningkat 15 peratus berbanding hari-hari biasa.

"Berbanding dengan bazar, tentunya bilangan pelanggan yang lalu lalang lebih ramai di bazar tetapi di TKC, keadaan lebih selesa kerana berhawa dingin,'' ujar Encik Trisno.

Beliau juga membayar harga sewa yang lebih rendah di TKC berbanding sekitar $6,000 hingga $15,000 yang dibayar bagi menyewa gerai Raya di bazar sebelum Covid-19.

Ia amat membantu para peniaga terutama peniaga kecil-kecilan, yang ingin mendapat pendapatan tambahan semasa musim perayaan ini.

Setakat ini, pelanggan yang datang semakin hari semakin ramai dan beliau berharap penjualannya semakin rancak pada hari-hari mendatang menjelang Syawal.

"Gembira dengan keadaan di sini, saya beritahu SLA saya ingin sewa kedai di sini lagi semasa Ramadan jika terdapat peluang tahun depan,'' kata Encik Trisno, yang mereka sandalnya itu sendiri dan telah pun berniaga sejak 10 tahun lalu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg