Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah bermula dan diasaskan pada 1936, dan disewa di sebuah kawasan di Tanjong Katong Road.
Apabila bilangan pelajar perempuan di situ semakin meningkat, pada 1940, pihak pengurusan membina bangunan madrasah di tanah wakaf kepunyaan Syeikh Omar Bamadhaj.
Syeikh Omar merupakan teman kepada pengasas Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah, Syeikh Muhd Fadhlullah Suhaimi.
Menurut Pegawai Pengumpulan Dana Madrasah Al-Ma’arif Al-Islamiah, Cik Siti Radhiyah Rahmat, kerja peningkatan berterusan perlu dilakukan, demi terus memberikan keselesaan kepada pelajar serta perlu dilengkapi dengan kemudahan baru.
Bermula dengan bangunan setingkat berbentuk ‘L’ ini, ia terletak di Ipoh Lane, dan mampu dibina di atas sokongan daripada sumbangan dan derma masyarakat Islam pada waktu itu.
Pada 1980 pula, bangunan berbentuk ‘L’ itu terpaksa dirobohkan dan dibangunkan semula menjadi dua tingkat dan siap pada 1987.
Madrasah Al-Ma’arif telah menjalani beberapa kerja peningkatan pada 1990, dan pada 2006, madrasah berpindah ke bangunan di Lorong 39 Geylang, yang masih digunakan hingga kini, dan menggunakan tanah wakaf Valibhoy.
Bangunan terkini setinggi lapan tingkat, dibina hanya dalam 10 bulan dan menelan belanja sehingga $15 juta.
Jumlah $12 juta terhasil daripada jualan bangunan di Ipoh Lane, dan madrasah itu perlu mengumpul sehingga $3 juta untuk memenuhi keperluan bagi dana pembangunan itu.
Hanya pada September 2014, baki $3 juta itu dapat dilangsaikan sepenuhnya.
Walaupun bangunan Madrasah Al-Ma’arif di Lorong 39 Geylang masih megah berdiri, namun banyak kerosakan perlu diperbaiki dan kerja baik pulih yang berterusan perlu dilakukan.
Pada Jun 2024, banyak peralatan perlu diganti kerana kerosakan teruk serta tidak lagi berfungsi.
Antaranya, madrasah perlu melakukan penukaran jubin baru di lantai dua dan servis pembaikan di bumbung dengan segera kerana terdapat kebocoran yang teruk.
Projek baik pulih pada Jun 2024 menelan sehingga $50,000 dan madrasah juga memerlukan sehingga $1.5 juta dana bagi 2024-2025 untuk menampung kos lain, keperluan dan prasarananya.
Ia juga perlu melakukan kerja baik pulih yang lebih besar pada Disember 2024, dan ini boleh menelan sehingga $800,000.
“Kami berharap agar masyarakat Islam di Singapura tidak putus menyumbang demi masa depan yang cerah bagi pelajar Al-Ma’arif ini, dan terus menyokong usaha kami dalam mendidik dan melahirkan generasi wanita Islam yang bermutu, insya- Allah,” jelas Cik Radhiyah.
HULUR DERMA
Cara menderma:
1. PayNow UEN: S36MM0001G (Rujukan: jenis derma).
2. Hadir di pejabat madrasah, dibuka dari Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 3 petang (waktu cuti sekolah).
3. Pembayaran melalui Nets dan tunai disediakan.
4. Pengambilan derma dari rumah juga boleh dilakukan.
* Hubungi talian WhatsApp 9182-4766 untuk pertanyaan lanjut.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg