Topik diikuti
Pergi ke BHkuMEREKA yang sudah giat bersenam boleh meneruskan kegiatan senaman sekitar setengah jam atau sejam semasa berpuasa.
Kalau ingin makan juadah Melayu semasa berbuka puasa seperti nasi goreng, mungkin hidangan itu boleh dimasak dengan bahan lebih sihat seperti beras perang dan minyak zaitun.
Itulah antara rumusan sesi program kesihatan kedua Sihat Sebelum Sakit (SSS) anjuran Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Keat Hong yang diadakan di Masjid Al-Khair semalam.
Program kesihatan SSS itu merangkumi ceramah tentang Wanita dan Kesihatan oleh doktor keluarga Banyan Clinic, Dr Elly Sabrina Ismail; ceramah tentang projek kencing manis jenis 2 oleh Dr Sue Anne Toh dari Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS); dan demonstrasi masakan sihat oleh cef Encik Md Mazlan Boyamin.
Program tersebut turut dihadiri Menteri Negara (Pembangunan Negara merangkap Tenaga Manusia) Encik Zaqy Mohamad, yang juga Anggota Parlimen GRC Chua Chu Kang dan Penasihat kepada Pertubuhan Akar Umbi (GRO) Chua Chu Kang (Keat Hong).
Bercakap kepada sekitar 90 peserta, Encik Zaqy berkata, "Menjaga kesihatan adalah tanggungjawab kita dan harus bermula dari diri sendiri.
"Bila kesihatan terjejas, ia menjejas mutu kehidupan kita dan turut membebankan keluarga kita. Kita harus pelihara dan menjadikan kesihatan keutamaan dalam hidup kita."
Lantas, beliau ge`mbira dengan program kesihatan yang diadakan di Masjid Al-Khair yang menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat.
Bercakap kepada Berita Minggu (BM), Encik Zaqy berkata bahawa program kesihatan yang diadakan masjid ialah satu usaha untuk melibatkan masyarakat Melayu dalam memulakan gaya hidup sihat.
Gerakan SSS juga telah bekerjasama dengan NUHS bagi menggalak masyarakat Melayu menjalani pemeriksaan kesihatan di Masjid Al-Khair.
Gerakan SSS telah melancarkan program senaman berenang, hip hop, cross fit dan zumba pada Mac lalu dengan memberi tumpuan terhadap penduduk Melayu/Islam di kawasan Keat Hong.
Sejak pelancaran program senaman itu, MAEC Keat Hong telah melihat peningkatan peserta sebanyak 35 peratus dalam beberapa bulan lalu.