Pemerintah sedang mengadakan perbincangan dengan platform media sosial untuk memperkenalkan penetapan ‘had masa harian’ bagi ciri-ciri yang boleh menimbulkan ketagihan seperti penatalan tanpa henti, atau ‘infinite scroll’, kata Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo.

Ini selain peraturan lebih tegas dengan mematikan fungsi ‘autoplay’ video secara automatik dalam media sosial.

Ini sebahagian daripada langkah perlindungan lebih kukuh untuk membantu anak-anak muda keluar daripada kitaran penggunaan media sosial yang berterusan dan berlebihan.

Oleh sebab ciri seperti penatalan tanpa henti tidak mempunyai “titik henti yang semula jadi”, Cik Teo berkata bahawa ia sering membuatkan pengguna “terus melekat (di media sosial) tanpa henti”.

“Menyentuh tentang penatalan tanpa henti, salah satu cara untuk menanganinya adalah dengan cuba melihat sama ada kita boleh memperkenalkan titik henti semula jadi... Had masa harian untuk penggunaan sesebuah platform boleh menjadi salah satu cara untuk menanganinya,” kata beliau.

Cik Teo berkata demikian dalam satu wawancara media pada 28 Ogos, di mana beliau berkongsi rancangan pemerintah untuk mempertingkat keselamatan dalam talian bagi kanak-kanak dan remaja.

Meski tiada “angka ajaib” atau formula khusus yang menentukan had masa harian yang terbaik bagi setiap individu, Cik Teo menarik perhatian beberapa data daripada Panel Pakar Kementerian Kesihatan (MOH) yang memberikan panduan mengapa campur tangan itu amat diperlukan.

Antaranya, panel itu mendapati bahawa satu dalam tiga belia Singapura berusia 15 hingga 17 tahun melayari media sosial lebih daripada tiga jam sehari.

Selain itu, satu dalam enam pengguna berusia 10 hingga 24 tahun menunjukkan bukti penggunaan bermasalah, seperti gejala ketagihan dan sukar menghentikan penggunaan secara sukarela.

Berdasarkan data tersebut, Cik Teo berkata ini “menunjukkan bahawa tempoh tiga jam adalah agak terlalu lama dan (had masa harian) sepatutnya kurang daripada itu”.

Sementara itu, syarikat Meta baru-baru ini mengumumkan sekatan baru pada platformnya – termasuk Instagram dan Facebook – seperti had masa dua jam sehari dan menyekat semua penggunaan dari tengah malam hingga 6 pagi, sebagai sebahagian daripada kes penyelesaian undang-undang bernilai AS$18 bilion ($22.9 bilion) dengan negeri-negeri Amerika Syarikat berhubung kesan media sosial terhadap kanak-kanak.

Meskipun angka akhir yang bakal diputuskan kelak mungkin tidak dipersetujui oleh semua pihak, Cik Teo menegaskan matlamat utama langkah had masa harian itu adalah untuk bertindak sebagai “peringatan” kepada remaja bahawa terdapat aspek penting lain dalam kehidupan mereka yang perlu diberi perhatian.

Berhubung ‘autoplay’ pula, Cik Teo berkata Singapura mahu fungsi tersebut dimatikan secara automatik dalam platform media sosial untuk pengguna remaja.

Beliau merujuk kepada konsep ‘roda latihan’, di mana fungsi ‘autoplay’ akan dimatikan secara automatik, namun ibu bapa boleh berbincang dengan anak mereka dan mengubah tetapan tersebut sekiranya mereka merasakan anak remaja mereka yang berusia 16 atau 17 tahun sudah cukup matang untuk mengendalikannya.

Cik Teo berkata pemerintah telah mengadakan beberapa sesi perbincangan kumpulan fokus bersama remaja berhubung penggunaan media sosial, dengan mereka mendapati bahawa golongan itu sebenarnya menyokong langkah keselamatan sedemikian.

Bahkan, mereka telah meluahkan kebimbangan tentang kebergantungan yang keterlaluan pada media sosial dan mengakui wujudnya isu penggunaan yang berlebihan dan bermasalah.

Antara perbincangan yang telah diadakan termasuk pada Jun dan Julai 2026 untuk meningkatkan kesedaran awam dan mengumpulkan pandangan mengenai rancangan pemerintah untuk memupuk persekitaran digital lebih selamat di media sosial.

“Mereka (remaja) memberitahu kami bahawa media sosial adalah tempat untuk mereka berinteraksi dengan rakan-rakan.

“Mereka tidak membantah pelaksanaan langkah perlindungan ini, tetapi meminta mereka berhenti menggunakan media sosial sepenuhnya adalah jauh lebih sukar.

“Berdasarkan semua sesi interaksi kami bersama golongan remaja, mesej yang disampaikan adalah sekiranya langkah perlindungan itu munasabah, mereka bersedia untuk menerimanya kerana mereka tahu kami menghormati keinginan mereka untuk berhubung dengan rakan-rakan menerusi media sosial, dan bukannya meminta mereka berhenti menggunakannya sepenuhnya,” kata Cik Teo.