Mantan Menteri Kanan, Encik Tharman Shanmugaratnam, pada Rabu membentangkan wawasannya untuk menjadi Presiden yang menyatukan rakyat, dengan misi untuk memupuk budaya saling menghormati di Singapura.
Encik Tharman, yang sebelum ini melahirkan hasrat bertanding dalam Pilihan Raya Presiden akan datang, telah mendedahkan slogan ‘Saling Menghormati’ dalam satu sidang akhbar di York Hotel.
“Saya melangkah ke dalam persaingan ini kerana saya sangat percaya akan keperluan untuk mengembangkan budaya Singapura, beberapa norma kita dan cara kita bekerjasama dengan satu sama lain agar kita kekal sebagai tempat yang bersinar di dunia pada masa depan,” katanya.
Beliau berkata sikap menghormati satu sama lain meskipun seseorang itu mempunyai pandangan yang berbeza adalah penting dan Singapura mesti elak daripada menjadi masyarakat yang berpecah belah akibat perbezaan pendapat.
“Di dalam negara kita sendiri, kita semakin menjadi demokrasi yang mempunyai pandangan yang berbeza-beza, dan saya fikir ini sesuatu yang tidak boleh dielak dan sesuatu yang sihat.
“Apa yang menjadi cabaran bagi kita ialah untuk elak daripada menjadi masyarakat yang berpecah belah – adalah satu perkara untuk mempunyai pandangan yang berbeza, tetapi ia adalah perkara yang lain pula apabila kita tidak menghormati satu sama lain dan menjadi lebih jauh dan retak akibat itu,” ujar beliau.
Inilah peranan yang perlu dimainkan Presiden – menyatukan warga – dan Encik Tharman berkata beliau memiliki “pengalaman nyata” dalam hal tersebut setelah berbakti dalam perkhidmatan awam selama lebih dua dekad.
“Bila saya bercakap tentang menjadi tokoh penyatuan, saya tidak mengatakan ini secara retorik atau hanya sebagai satu aspirasi, tetapi saya bercakap daripada rekod baik sebenar menghormati pandangan yang berbeza termasuk pandangan politik berbeza, dan sentiasa cuba mencari titik persamaan,” ujarnya.
Dalam sidang akhbar tersebut, Encik Tharman, 66 tahun, berkata beliau memutuskan bertanding bagi jawatan Presiden kerana beliau percaya cabaran yang dihadapi Singapura akan berkembang dan jawatan presiden yang dilantik akan menjadi kritikal.
Cabarannya bukan hanya berdasarkan apa yang berlaku hari ini atau berdasarkan situasi sedia ada, tetapi cabarannya lebih asas, kata Encik Tharman.
Beliau menambah bahawa kita berada dalam masa peralihan, di dalam Singapura dan juga di peringkat antarabangsa.
“Kita sedang menuju ke arah era baru... dan semua negara akan dicabar dalam bentuk yang baru pada tahun-tahun mendatang.
“Jika saya cukup bernasib baik untuk dipilih sebagai Presiden, saya dapat membawa pengalaman dan keupayaan penuh saya di peringkat nasional dan antarabangsa... untuk berkhidmat sebagai Presiden anda bagi era baru dan lebih mencabar ini,” ujar beliau.
Encik Tharman telah mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan Presiden pada Jun.
Beliau meletak jawatan daripada Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan pemerintah pada 7 Julai lalu.
Beliau juga telah mendedahkan pencadangnya, penyokong dan lapan orang yang bersetuju. Semua mereka hadir pada sidang media pada Rabu.
Encik Thomas Chua, presiden Persekutuan Persatuan Puak Cina Singapura dan mantan Anggota Parlimen Dilantik, merupakan pencadangnya, sementara Encik Mohammad Alami Musa, mantan presiden Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) merupakan penyokongnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg