Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tharman mahu jadi ‘tokoh yang menyatukan’

Aug 19, 2023 | 7:24 PM
BERMESRA DENGAN BELIA: Encik Tharman Shanmugaratnam (baju merah) dan isterinya, Cik Jane Yumiko Ittogi (baju ungu), bergambar bersama belia peserta dialog anjuran Access Singapore di YWCA Fort Canning pada Sabtu.
BERMESRA DENGAN BELIA: Encik Tharman Shanmugaratnam (baju merah) dan isterinya, Cik Jane Yumiko Ittogi (baju ungu), bergambar bersama belia peserta dialog anjuran Access Singapore di YWCA Fort Canning pada Sabtu. - Foto ST

Di tengah-tengah kemelut global dan masyarakat yang lebih pelbagai dalam Singapura, peranan seorang Presiden semakin penting untuk menyatukan rakyat dan memastikan perpaduan.

Itu, kata mantan menteri kanan, Encik Tharman Shanmugaratnam, matlamatnya selama bertahun, dan bukan hanya disebabkan kempen Presiden beliau.

Menekankan peranan tradisional Presiden, bakal calon presiden itu berkata beliau ingin menjadi “tokoh yang menyatukan” dalam “tempoh amat sukar”.

Encik Tharman berkata demikian belia dalam satu dialog bagi belia anjuran Access Singapore di YWCA Fort Canning pada Sabtu semasa menjawab seorang belia yang bertanya apakah ciri berlainan yang diperlukan bagi jawatan Presiden kali ini, dan apa yang boleh disumbang beliau jika dipilih menjadi presiden.

“Saya melakukan kerja di peringkat masyarakat bertahun-tahun sebelum ini, di Jurong atau di luarnya. Bagaimana anda menyatukan orang ramai? Bagaimana anda mempertingkat paras kehidupan dalam cara yang bukan tentang individu sahaja, tetapi tentang daya tahan kolektif.

“Dan saya percaya peranan aktif Presiden, iaitu dalam menyokong inisiatif masyarakat oleh masyarakat sivil dan kumpulan kesukarelawanan lain, boleh menjadi lebih penting pada masa depan.” 

Beliau berkata masyarakat Singapura kian pelbagai dengan orang ramai memegang pandangan berbeza-beza. Seorang Presiden perlu mengurangkan perbezaan itu dan mewujudkan semangat perpaduan.

Tentang perkembangan antarabangsa, Encik Tharman berkata Singapura sedang menempuh sekitaran baru dan kerugian yang dialami Singapura tidak patut dipandang rendah jika negara ini dilayan seperti “negara kecil”.

Ini lebih-lebih lagi dengan kemelut seperti ketegangan antara Amerika Syarikat dan China. Keadaan itu berbahaya, justeru menekankan kepentingan peranan Presiden.

“Peranan tradisional Presiden menjadi lebih penting jika orang yang memegang jawatan itu ada pengalaman latar belakang itu, reputasi di peringkat antarabangsa untuk mampu mengharumkan nama Singapura, dan bukan mengharumkan nama Singapura saja, bahkan menonjolkan Singapura sebagai suara yang dapat mempengaruhi dalam kerjasama dan perbahasan antarabangsa,” katanya.

Beliau berkongsi harapannya buat Singapura, iaitu mewujudkan budaya saling menghormati dalam masyarakat, menjadi lebih peka akan masalah golongan kurang bernasib baik, dan memastikan masyarakat lebih memahami budaya dan kaum berbeza.

Encik Tharman turut mengulas tentang faktor penyebab isu kesihatan mental, perubahan iklim, isu perkauman, golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan queer (LGBTQ),  dan tekanan yang mungkin timbul daripada sistem akademik Singapura.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg