Topik diikuti
Pergi ke BHku‘The Straits Times’ lancar terbitan edisi mingguan khas bagi 4 Jumaat saja
‘The Straits Times’ lancar terbitan edisi mingguan khas bagi 4 Jumaat saja
Akhbar The Straits Times (ST) akan menerbitkan edisi mingguan khas bagi empat Jumaat berturut-turut mulai 9 Oktober, sebagai sebahagian usaha menyokong gerakan nasional yang menggalakkan budaya membaca.
Dikenali sebagai Straits Times Weekly, penerbitan bersaiz kompak itu merupakan hasil kerjasama dengan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) di bawah gerakan nasional ReadSG.
Ia bakal diedarkan secara percuma ke sebilangan isi rumah, selain di empat stesen MRT – Bedok, Boon Lay, Raffles Place dan Toa Payoh.
Projek penerbitan cetak empat minggu ini dilancarkan SPH Media selaku rakan media rasmi ReadSG – gerakan nasional lima tahun yang mahu melahirkan masyarakat gemar membaca.
Penerbitan setebal 20 halaman itu akan menghimpunkan artikel berita utama ST sepanjang minggu sebelumnya.
Ia turut menampilkan laporan dan infografik mengenai perkembangan tempatan yang memberi kesan kepada warga Singapura, berita utama dunia dan perniagaan, serta kandungan yang menarik minat pembaca secara lebih luas seperti teka silang kata, ulasan buku dan saranan bacaan.
Editor ST, Encik Jaime Ho, berkata: “Walaupun kandungan ini hanya mewakili sebahagian kecil daripada keseluruhan kandungan ST, usaha ini bertujuan menggalakkan orang ramai memupuk tabiat membaca dan mendapatkan berita daripada sumber yang berwibawa dan boleh dipercayai.
“Kami berharap mereka yang menerima edisi ini juga dapat menemui semula keseronokan membaca sorotan berita dalam bentuk cetak,” tambahnya.
Mereka yang menerima naskhah tersebut turut digalakkan mengisi satu tinjauan mengenai tabiat membaca mereka.
Sekitar 20,000 naskhah bagi setiap edisi mingguan khas itu akan diedarkan, dengan edisi terakhir diterbitkan pada 30 Oktober.
“
“Walaupun kandungan ini hanya mewakili sebahagian kecil daripada keseluruhan kandungan ST, usaha ini bertujuan menggalakkan orang ramai memupuk tabiat membaca dan mendapatkan berita daripada sumber yang berwibawa dan boleh dipercayai. Kami berharap mereka yang menerima edisi ini juga dapat menemui semula keseronokan membaca sorotan berita dalam bentuk cetak.”