PARTI Kemajuan Singapura (PSP) hari ini berkata, siasatan dalamannya tidak mendapati bukti parti itu dibiayai pihak luar negara, sekaligus menyangkal tuduhan anggota parti yang telahpun dipecat.
Parti pembangkang itu menjelaskan, pembiayaan parti itu sejajar dengan peraturan Akta Pendermaan Politik Singapura, lapor The Straits Times.
Ia turut berkata, pihaknya "tidak bertolak ansur dengan mereka yang melakukan sabotaj" dan akan memecat ahli yang tidak mematuhi peraturan parti itu.
"PSP menyangkal tuduhan Daniel Teo di laporan The Straits Times pada 3 Mei 2020, dan semua dakwaan bahawa parti ini telah 'disusupi dan dibiayai sumber asing'," kata parti itu.
Encik Daniel Teo, 36 tahun, yang bertugas dalam satu syarikat prasarana kelautan telah menghasilkan satu video pada pertengahan April lalu yang mendakwa bahawa parti politik termuda di Singapura itu telah "disusupi oleh proksi-proksi asing."
Beliau juga memberi nama 10 orang ahli yang dituduh telah bekerjasama dengan pengerusi SPS, Encik Jose Raymond dan ahli sejarah Encik Thum Ping Tjin sambil "dibiaya oleh sumber liberal Barat."


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg