KETIADAAN kes Covid-19 baru dari asrama pekerja asing yang dilaporkan pada Selasa (13 Okt) adalah satu pencapaian besar bagi Singapura, kata Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad.
Ini kali pertama tiada kes dari asrama dilaporkan sejak 25 Mac. Dalam satu catatan Facebook pada Selasa, Encik Zaqy berkata: "Banyak yang telah dilakukan sejak permulaan wabak ini, dan kita tidak dapat melakukannya tanpa rakyat kita dan rakan masyarakat kita, bekerjasama dengan pemerintah." Beliau turut meluahkan penghargaannya kepada pertubuhan bukan pemerintah (NGO) yang menumpukan banyak usaha dan sumber untuk menyokong pekerja asing. "Di Taskforce Alliance, kami terus bekerjasama dengan rakan masyarakat untuk memastikan kesejahteraan pekerja asing kami dijaga. Kami berharap dapat merancang kegiatan riadah yang selamat untuk mereka sertai dalam masa terdekat!" tulis Encik Zaqy.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg