MENGHAPUSKAN perlindungan untuk pekerja tua daripada diberhentikan kerja atas sebab umur di bawah Akta Persaraan dan Pengambilan Kerja Semula akan menjadikan akta itu tidak bermakna, kata Presiden Halimah Yacob. Merujuk kepada laporan akhbar 'The Straits Times' mengenai perdebatan Parlimen berkaitan hal itu, Puan Halimah berkata undang-undang sudahpun memperuntuk mekanisme menangani isu yang timbul daripada pertikaian antara pekerja lebih tua bagi pemberhentian kerja yang salah berdasarkan umur dan penegasan majikan bahawa sebab-sebabnya adalah berkaitan kerja. Ini demi kepentingan pekerja dan majikan untuk mengekalkan peruntukan ini, kata Puan Halimah. Perbahasan di Parlimen itu menyentuh tentang bagaimana undang-undang yang bertujuan melindungi pekerja daripada diberhentikan disebabkan usia boleh mendatangkan kesan positif dan negatif. Cik Jessica Tan (GRC East Coast) menyuarakan bahawa syarikat mungkin berpendapat mengambil warga emas bekerja sebagai risiko jika warga emas itu ternyata tidak sesuai, kerana syarikat itu perlu menawarkan semula pekerjaan kepada individu tersebut setelah beliau mencapai usia persaraan. Justeru, undang-undang itu boleh juga membawa kepada sikap berat sebelah tanpa disedari terhadap pengambilan warga emas untuk bekerja. Dalam catatan di Facebook yang dimuatnaik Puan Halimah pada Jumaat (7 Okt), beliau menjelaskan bahawa undang-undang menyatakan menjadi satu kesalahan bagi seorang majikan memberhentikan pekerja itu mencapai usia persaraan. "Tetapi ia tidak menjejas keupayaan seorang majikan memberhentikan pekerja lebih tua atas sebab ketidakcekapan atau salah laku yang terbukti atau sebab lain yang sah berkaitan prestasi tugasnya tidak kira usia.
"Kedudukan itu kekal sama hari ini dengan usia persaraan 63 tahun dan peruntukan pekerjaan semula yang ditambah kepada undang-undang," tulisnya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg