GARIS panduan yang menghendaki jururawat bertudung memastikan "tiada pakaian di bawah siku" (BBE) ketika dalam tugas adalah dibenarkan dalam syariah.
Tudung juga dibenarkan, di bawah syariah, untuk dibuka atau digantikan dengan bentuk penutup kepala lain jika perlu ketika dalam tugas.
Demikian dinyatakan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dalam kenyataannya semalam tentang fatwa berkaitan pemakaian tudung dalam perkhidmatan pakaian seragam.
Ia berkata, sedang banyak tempat kerja kini membolehkan wanita Muslim menutup aurat, termasuk jururawat yang dibenarkan memakai tudung mulai 1 November ini, terdapat keadaan tertentu yang menghalang mereka daripada menutup aurat dengan lengkap.
Ini lebih-lebih lagi dalam perkhidmatan seragam, kerana pakaian kerja tertakluk kepada dasar dan keperluan institusi.
"Dalam keadaan sedemikian, kita perlu mengelak daripada mengambil pilihan mudah menghalang wanita daripada bekerja tanpa terlebih dahulu membuat penilaian betul dan teliti tentang keadaan itu dan mempertimbangkan panduan sesuai berdasarkan prinsip keagamaan yang jelas," kata Muis.
Kementerian Kesihatan telah menetapkan panduan klinikal bagi pemakaian tudung dalam tugas, termasuk BBE.
Dasar itu menetapkan bahawa tangan dan lengan hingga paras siku harus didedahkan dan bebas daripada pakaian atau barang kemas.
Lengan baju harus pendek atau digulung dengan rapi hingga paras siku bagi membolehkan akses kepada pergelangan tangan untuk teknik kebersihan tangan yang baik.
Dasar BBE akan dipatuhi oleh semua pekerja penjagaan kesihatan semasa interaksi dengan pesakit, atau apabila mungkin menyentuh persekitaran terdekat pesakit.
Ini kerana terdapat bukti menunjukkan bahawa pakaian yang dipakai oleh pekerja penjagaan kesihatan diselaputi kuman dan bakteria, dan bakteria paling biasa ditemui di lengan baju, serta kocek pakaian.
Mengenai pematuhan dasar BBE, Muis menjelaskan, dalam tradisi fiqh, batasan aurat wanita telah dipertimbangkan, dan terdapat pandangan yang membolehkan pendedahan lengan di luar waktu solat, apabila terdapat keperluan.
Dalam keadaan apabila tudung dikehendaki digantikan dengan bentuk penutup kepala lain seperti topi pembedahan yang dipakai dalam bilik bedah, atau apabila tudung perlu dibuka disebabkan oleh keperluan klinikal atau berkaitan keselamatan lain, ini juga dibenarkan.
"Pertimbangan hukum agama dalam konteks ini memberi ruang bagi petugas Muslim untuk terus berkhidmat dengan profesional, menjaga kemaslahatan dan menolak kemudaratan, serta mempamerkan etika kerja Islam melalui khidmat mereka," kata Muis.
PERKEMBANGAN ISU PEMAKAIAN TUDUNG BAGI PEKERJA SEKTOR KESIHATAN


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg