Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tidak boleh makan di sebarang kedai makanan mulai Selasa

Orang ramai hanya boleh beli untuk dibawa balik di bawah langkah lebih tegas bagi kekang Covid-19
Apr 4, 2020 | 5:30 AM
TIDAK BOLEH DUDUK MAKAN: Mulai 7 April, iaitu Selasa ini, semua kedai makanan dan minuman hanya boleh dibuka untuk pelanggan membeli makanan bagi dibawa balik atau untuk penghantaran makanan. - Foto fail BH
TIDAK BOLEH DUDUK MAKAN: Mulai 7 April, iaitu Selasa ini, semua kedai makanan dan minuman hanya boleh dibuka untuk pelanggan membeli makanan bagi dibawa balik atau untuk penghantaran makanan. - Foto fail BH -

MULAI Selasa ini, orang ramai tidak boleh menjamu selera di tempat makanan dan minuman (F&B), termasuk pusat penjaja dan kedai kopi.

Tetapi, mereka masih boleh membeli makanan dan minuman untuk dibawa pulang, menurut Menteri Perdagangan dan Perusahaan Encik Chan Chun Sing.

Langkah itu dilaksana bagi mengekang penularan koronavirus Covid-19 dalam kalangan masyarakat.

"Semua kedai makan masih boleh terus beroperasi, (tetapi) penyesuaian utama ialah tidak ada sesiapa dibenarkan menjamu selera di sana,'' kata Encik Chan dalam satu taklimat media semalam.

Satu kenyataan Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) semalam menyatakan kedai makan boleh beroperasi bagi menyediakan khidmat penghantaran atau pelanggan membeli untuk dibawa pulang.

Ini dilakukan bagi mengurangkan interaksi di luar isi rumah.

"Sementara pelanggan dan pemandu penghantaran boleh terus memasuki premis bagi mendapatkan makanan untuk dibawa pulang, tiada makanan boleh dihidangkan di kedai makan itu dan tidak ada siapa yang harus makan atau minum sementara menunggu makanan siap,'' ujar MTI.

Encik Chan pula menambah bahawa kedai F&B boleh terus dibuka tetapi harus patuh terhadap langkah jarak selamat di premis mereka dan mengurangkan orang untuk berhimpun dan memastikan mereka berada di jarak sekurang-kurangnya satu meter pada setiap masa.

Beliau menggalak mereka yang membeli makanan untuk dibawa pulang agar membawa bekas sendiri bagi membantu pengendali menjimatkan pek bungkusan mereka.

Khidmat penting boleh terus beroperasi, yang lain perlu ditutup dari 7 April hingga 4 Mei

Sementara itu, Encik Chan menyatakan hanya khidmat penting dan rantaian bekalan serta penyedia khidmat dikecualikan daripada digantung dari 7 April hingga 4 Mei.

"Semua perniagaan lain, kegiatan sosial dan kegiatan lain yang tidak boleh dijalankan dalam talian atau cara lain dari rumah akan digantung dari 7 April 2020 hingga 4 Mei 2020,'' ujar kenyataan MTI.

Khidmat penting termasuk penjagaan kesihatan, makanan, perbekalan; air, pengurusan sampah dan sekitaran; pengangkutan dan penyimpanan; maklumat dan komunikasi, bank; pertahanan dan keselamatan; perkilangan dan pengedaran; serta binaan, pengurusan kemudahan dan prasaran awam penting.

Entiti yang dapat mengoperasikan perniagaan mereka dengan pekerja bekerja dari rumah boleh terus melakukannya.

Sebelum ini, majikan dibenarkan mempunyai pekerja bekerja di premis fizikal mereka jika mereka melaksanakan langkah jarak selamat, tetapi sekarang ia perlu ditutup, kata Menteri Tenaga Manusia, Cik Josephine Teo.

"Sebelum ini, kita terima bahawa terdapat beberapa kes di premis kerja, terdapat 10, 20, 30 atau 40 peratus tenaga kerja berada di sana.

"Dengan langkah dipertingkat ini, semua kegiatan kerja perlu dihentikan, maknanya semua perlu kerja dari rumah dan di premis kerja, tidak ada sesiapa di sana.

"Bagi kes pekerja boleh kerja dari rumah, perniagaan boleh terus beroperasi. Jika tidak, operasi perniagaan perlu dikurangkan atau dihentikan sepenuhnya. Ini adakah kesnya kecuali khidmat penting,'' jelas Cik Teo.

Beberapa perniagaan strategik bagi ekonomi dan ingin dipertimbangkan untuk terus dibuka boleh bermohon kepada MTI.

"Tetapi bagi yang lain, kecuali mereka mendapat kelulusan untuk terus beroperasi di tempat kerja, beroperasi di tempat kerja adalah satu kesalahan,'' tambah Cik Teo.

Syarikat yang belum jela mengenai perkara ini boleh menghubungi MTI atau MOM.

Khidmat penting perlu patuhi beberapa syarat

Sementara itu, MTI menyatakan entiti yang menyediakan khidmat penting perlu mematuhi beberapa syarat, seperti kesemua kegiatan yang boleh dijalankan dalam talian perlu dilakukan di rumah.

Majikan juga perlu melaksana langkah jarak selamat bagi mengurangkan interaksi fizikal.

Bahkan, mereka boleh mengurangkan keperluan interaksi fizikal dan melaksana jadual bekerja berbeza.

Kegiatan berkumpulan juga harus ditunda.

"Hanya entiti yang menyediakan sokongan penting bagi perkhidmatan penting akan dikecualikan.

"Kami menjangka langkah ini dilaksanakan hingga 4 Mei tetapi ia akan dilanjutkan jika perlu.

"Tanggungjawab sosial amat penting dalam memperlahan penularan virus itu,'' ujar MTI dalam kenyataannya.

"Semua kedai makan masih boleh terus beroperasi, (tetapi) penyesuaian utama ialah tidak ada sesiapa dibenarkan menjamu selera di sana." - Encik Chan Chun Sing, Menteri Perdagangan dan Perusahaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg