Topik diikuti
Pergi ke BHkuTidak mahu tunggu lama, flat jualan semula jadi pilihan
Tidak mahu tunggu lama, flat jualan semula jadi pilihan
MENDENGAR keluhan dari adiknya yang terpaksa menunggu lebih lama daripada apa yang dijangkakan bagi mendapatkan kunci flat Bina Ikut Tempahan (BTO), Cik Siti Amirah Abu Bakar mengambil keputusan untuk sebaliknya mencari flat jualan semula.
Beliau dan suami merupakan antara pembeli kali pertama yang membeli flat jualan semula, yang semakin menarik permintaan tinggi.
Baru-baru ini, perangkaan awal Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menunjukkan harga flat jualan semula naik 2.7 peratus pada suku ketiga, kenaikan enam suku tahunan berturut-turut.
"Adik saya seharusnya mendapatkan rumah baru beliau sekitar tahun ini, namun disebabkan Covid-19, pembinaan BTO itu terpaksa ditangguhkan. Beliau baru mendapat tahu bahawa flat itu terpaksa ditangguhkan lagi dan hanya akan siap menjelang akhir tahun depan," kata Cik Amirah, 32 tahun, seorang peniaga di rumah.
Dengan dua anak kecil berusia lima bulan dan dua tahun, Cik Amirah dan suami, Encik Muhammad Nafiz Kamarudin, jurulatih kecemasan perubatan, tidak mahu nasib serupa menimpa mereka.
Oleh itu, mereka mendapatkan rumah empat bilik di Serangoon North dengan harga yang berpatutan.
Lebih menggembirakan lagi, pasangan itu tidak perlu mengeluarkan sesen pun dari kocek mereka untuk membayar nilai atas taksiran (COV).
Mereka sekeluarga yang kini menetap bersama nenek Cik Amirah, akan menerima kunci kepada rumah pertama mereka itu minggu ini, setelah hampir setahun mencari.
"Alhamdulillah kami sungguh bernasib baik dapat memperoleh rumah kami dalam waktu yang agak singkat berbanding orang lain," ujarnya.