SEBELUM menghidap angin ahmar atau strok, Cik Atika Ahmad, 56 tahun lebih gemar "menyendiri dan membuat hal sendiri".
Hanya selepas mengalami masalah itu barulah beliau aktif mengembara atau 'trekking' di serata pulau ini.
Ini meskipun keadaannya belum lagi beransur pulih sebelumnya dengan hanya 70 peratus daripada keseluruhan tenaganya yang baru kembali seperti sedia kala.
Menurut Laporan Tahunan Pendaftaran Angin Ahmar Singapura 2020, yang dikeluarkan bulan lalu, usia median permulaan pesakit Melayu yang dikesan angin ahmar adalah 64.5 tahun pada 2020, berbanding 71.0 tahun dalam kalangan masyarakat Cina dan 64.4 tahun kaum India.
Bagi setiap 100,000 penduduk, sebanyak 306.8 kadar kejadian angin ahmar dilaporkan dalam kalangan masyarakat Melayu pada 2020 berbanding 235.4 pada 2010.
Angka tersebut lebih tinggi berbanding kaum Cina pada kadar 191.0 (2010) dan 250.7 (2020); sementara masyarakat India pula 138.8 (2010) dan 223.1 (2020).
Cik Atika, yang kini menjual kuih secara dalam talian, pergi 'trekking' antara tiga hingga empat kali seminggu.
"Yang penting kini saya dapat berjumpa dan bergaul dengan ramai orang," katanya.
Selain 'trekking', beliau juga kerap berdamping dengan pesakit yang baru dikesan dengan angin ahmar - berbual dan memberi sokongan kepada golongan yang senasib dengannya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg