BUAT kali pertama sejak sekitar dua tahun lalu, orang ramai kini tidak perlu menggunakan SafeEntry atau TraceTogether untuk memasuki kebanyakan tempat seperti pusat beli-belah, pasar raya dan masjid.
Stesen dan pengadang SafeEntry telah dibuka di kebanyakan tempat di serata Singapura semalam sedang langkah sekatan Covid-19 di sini terus dilonggarkan.
Ini membolehkan orang ramai keluar masuk tempat itu tanpa perlu menggunakan token atau aplikasi TraceTogether mereka.
Ini menyusuli pengumuman Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) bagi Covid-19 minggu lalu untuk melonggarkan lagi sekatan Covid-19 di sini - termasuk meniadakan had saiz kumpulan dan jumlah pekerja yang boleh kembali ke tempat kerja - mulai semalam, sedang negara ini mencapai detik penting dalam usahanya memerangi Covid-19.
Ini juga sedang Singapura menurunkan tahap risiko penularan Covid-19 ke paras 'Kuning' selepas lebih dua tahun berada di tahap 'Jingga' atau "risiko tinggi" di bawah Syarat Sistem Respons Wabak Penyakit (Dorscon).
Sementara kebanyakan tempat tidak lagi memerlukan pengunjung menggunakan aplikasi atau token TraceTogether mereka, orang ramai digalakkan mengekalkan aplikasi dan token TraceTogether ini sekiranya ada varian baru yang timbul dan langkah langkah pengurusan keselamatan Berdasarkan Status Vaksinasi (VDS) perlu kembali dilaksanakan.
Dengan pengumuman minggu lalu bahawa VDS tidak tidak lagi diperlukan dalam kebanyakan keadaan mulai semalam, banyak tempat seperti pusat beli-belah telah membuat persiapan bagi keadaan yang kembali seperti sebelum pandemik Covid-19.
Individu yang belum divaksinasi sepenuhnya misalnya kini dibenarkan masuk ke pusat beli-belah.
Sesetengah pusat beli-belah mula membuka pengadang SafeEntry mereka seawal kelmarin.
Pusat beli-belah seperti Causeway Point dan Waterway Point juga telah membuka semula semua pintu masuk dan keluarnya untuk membolehkan orang ramai keluar masuk dengan lancar.
Beberapa restoran dan kedai makan juga telah membuka pelekat yang dilekatkan sebelum ini untuk mengingatkan orang ramai memastikan jarak selamat serta kod QR TraceTogether.
Mulai hari ini, VDS diteruskan bagi kafe, restoran dan kedai kopi tetapi penggunaan TraceTogether dan SafeEntry dihentikan dan sebaliknya, pemeriksaan rambang ke atas individu akan dijalankan oleh pekerja atau pegawai penguatkuasaan.
Selain itu, had saiz kumpulan dan had jumlah pengunjung ke rumah juga kini ditiadakan.
Sementara orang ramai boleh terus memilih sama ada untuk memakai atau tidak memakai pelitup di luar rumah, orang ramai masih perlu memakai pelitup ketika berada dalam bangunan seperti pusat beli-belah dan pusat penjaja serta semasa menaiki pengangkutan awam.
Ini bermakna hampir kesemua langkah pengurusan selamat untuk menangani Covid-19 di Singapura, kecuali pemakaian pelitup di dalam bangunan, kini sudah ditiadakan.
Dalam pada itu, industri pelancongan juga dapat menghembuskan nafas lega dan menjangkakan pemulihan lebih baik.
Ini kerana semua individu yang sudah lengkap divaksinasi serta kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah yang tidak divaksinasi yang tiba di Singapura menerusi udara dan laut mulai semalam tidak lagi perlu menjalani ujian prakeberangkatan (PDT) dalam tempoh dua hari sebelum berangkat ke Singapura.
SEKILAS PERUBAHAN
*Khidmat bas dan teksi rentas sempadan dengan Malaysia disambung pada 1 Mei
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg