Setiap pagi, Cik Seniah Haroon memulakan harinya seorang diri di flat satu bilik yang didiaminya.

Namun, kehidupan tinggal bersendirian tidak menghalangnya daripada menjalani kehidupan yang aktif dan terus berinteraksi dengan masyarakat sekeliling.

Bahkan, semasa dihubungi Berita Minggu (BM), Cik Seniah, 70 tahun, menyifatkan kehidupannya sebagai tenang dan tidak pernah berasa sunyi.

Di sebalik ketenangan yang dinikmatinya, Cik Seniah berkata beliau lebih gemar mengisi masa lapang dengan pelbagai kegiatan di luar rumah daripada menghabiskannya di rumah.

Menurutnya, beliau kerap menyertai kegiatan untuk warga emas anjuran Jawatankuasa Penduduk (RC) di kawasan kejiranannya di Pipit Road, Macpherson.

Beliau turut menyertai kegiatan anjuran RC di kawasan lain seperti Ang Mo Kio, Toa Payoh dan Tampines.

Antara kegiatan yang diikuti termasuk sesi zumba, tarian, lawatan ke tempat menarik seperti taman haiwan, serta acara sambutan musim perayaan.

“Saya rasa penting untuk kita sertai acara kemasyarakatan supaya kita tidak rasa terkurung apabila tinggal seorang diri,” kata Cik Seniah, seorang ibu tunggal yang mempunyai tiga anak.

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Ketiga-tiga anaknya telah berpindah selepas membina rumah tangga.

Cik Seniah bercerai dengan suaminya sejak anak-anaknya masih kecil.

Walaupun seorang diri, beliau berkata anak dan anak saudaranya juga banyak mengambil berat tentang keadaannya dan tidak meminggirkannya.

Malah, beliau gembira kerana keluarganya menyokong penyertaannya dalam kegiatan sebegini.

Selain sokongan keluarga, beliau turut menghargai usaha pihak RC yang sering memaklumkan tentang kegiatan yang dianjurkan serta mengajaknya menyertai lawatan dan acara bersama penduduk lain.

Baginya, kegiatan sedemikian penting kerana dapat membantu warga emas yang tinggal bersendirian untuk terus terlibat dalam masyarakat.

“Apabila kita ada kegiatan seperti ini, kita dapat keluar rumah dan bercampur dengan orang,” kongsi beliau.

Usaha Cik Seniah untuk kekal aktif tidak terhad kepada kegiatan kemasyarakatan sahaja.

Di luar, beliau masih aktif dengan menghidupkan seni silat, yang telah dipelajarinya seawal usia enam tahun, di majlis perkahwinan.

Dalam satu hantaran TikTok yang meraih lebih 160,000 tontonan baru-baru ini, Cik Seniah dilihat melakukan silat pengantin di majlis perkahwinan anak saudaranya, Encik Muhammad Nazri Ravi, 25 tahun.

Cik Seniah melakukan silat pengantin di majlis perkahwinan anak saudaranya, Encik Muhammad Nazri Ravi.
Cik Seniah melakukan silat pengantin di majlis perkahwinan anak saudaranya, Encik Muhammad Nazri Ravi. - Foto TANGKAP LAYAR TIKTOK ILYCAPTURES

Dalam pada itu, beliau kini bertugas sebagai ketua kumpulan pekerja pembersihan di Institut Teknologi Singapura (SIT), di Punggol, dan bertanggungjawab untuk memantau kebersihan di dua blok bangunan tersebut.

Walaupun usianya sudah lanjut, beliau masih bekerja kerana ingin kekal aktif.

“Anak saya pernah menyarankan agar saya berhenti kerja dan berehat di rumah.

“Namun, saya akan berasa gelisah jika terlalu lama berada di rumah,” katanya, yang telah bekerja sebagai pekerja pembersihan sejak 1990-an.

Beliau bekerja dari 7 pagi hingga 4 petang setiap Isnin hingga Jumaat, dan sehingga 11 pagi pada hari Sabtu.

Berbekalkan semangat untuk kekal cergas dan melakukan kegiatan yang bermanfaat, Cik Seniah juga tidak keberatan menghadiri kegiatan kemasyarakatan seorang diri sekiranya tiada teman.

“Kadangkala, saya akan mengambil cuti dari kerja untuk turut serta dalam kegiatan yang dianjurkan RC kerana ada aktiviti yang jatuh pada hari bekerja,” tambahnya.

Menyingkap tentang kehidupan tinggal seorang diri, beliau pernah ditanya bagaimana dirinya kekal gembira dan positif.

“Dalam dunia ini, semua orang ada masalah. Malah, orang kaya pun ada masalah.

“Tetapi diri kita sahaja yang boleh kawal fikiran kita.

“Alhamdulillah, kegiatan yang saya sertai membantu saya untuk tidak terlalu banyak berfikir,” kata beliau.

“

Dalam dunia ini, semua orang ada masalah. Malah, orang kaya pun ada masalah. Tetapi diri kita sahaja yang boleh kawal fikiran kita. Alhamdulillah, kegiatan yang saya sertai membantu saya untuk tidak terlalu banyak berfikir.
Cik Seniah Haroon.