DARI KUALA TERENGGANU, TERENGGANU: TIGA bidang utama - perhubungan udara, pembangunan kapasiti dan pendidikan - berpotensi menjadi kerjasama antara Singapura, Kelantan dan Terengganu dalam jangka masa panjang, kata Menteri di Pejabat Perdana Menteri, yang juga Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman.

Bercakap kepada media Singapura untuk menggulung lawatannya ke Terengganu dan Kelantan, Dr Maliki berkata ketiga-tiga bidang itu berkemungkinan mengukuhkan terus hubungan antara Singapura dengan Malaysia, terutamanya dengan kededua negeri ini.

Kunjungan Dr Maliki ke Kelantan dan Terengganu antara 15 hingga 19 April adalah sebagai sebahagian usaha Singapura memperkukuh hubungan dengan negeri-negeri di Malaysia dan meneroka bidang kerjasama baru, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA).

Menurut Dr Maliki, hubungan antara Singapura dengan Malaysia begitu erat dan perlu terus diperkukuh.

"Berdasarkan perbincangan saya dengan para pemimpin yang saya temui, terdapat tiga aspek yang boleh mengeratkan terus hubungan antara Singapura dengan kededua negeri ini.

"Pertama dari segi menyokong sektor pelancongan mereka.

"Sebabnya sektor pelancongan mereka telah berkembang, namun perhubungan udara antara kami agak berkurangan, meskipun sebelum ini ia wujud namun dihentikan.

"Padahal pelancongan merupakan sektor ekonomi yang besar di kededua negeri ini.

"Ramai warga Singapura yang ke kededua negeri ini, tapi kalau kita dapat menyokong sektor ini menerusi perhubungan udara maka ia dapat berkembang dengan lebih baik," katanya.

Aspek kedua yang berpotensi pula adalah dari segi pembangunan kapasiti di mana kededua negeri membentangkan cabaran yang dihadapi seperti prasarana, air dan sebagainya.

Berdasarkan pengalaman Singapura menjadi penerima bantuan daripada negara-negara maju dan selepas 50 tahun negara titik merah ini mempunyai pengalaman untuk menangani aspek pembangunan seperti pengitaran semula air, kemampanan, dan sebagainya.

"Saya syorkan kepada mereka jika mereka sudi, mereka boleh menghantar para pegawai mereka ke Singapura untuk dilatih dan meraih pengetahuan dalam perkara seperti pengitaran semula air.

"Mereka kongsi semasa air bah melanda, mereka cuba mencari huraian untuk atasi isu sedemikian.

"Justeru saya undang para pegawai mereka ke Singapura untuk menimba pengalaman seperti apa yang kami telah alami sebelum ini," jelasnya.

Aspek ketiga yang berpotensi, kata Dr Maliki adalah pendidikan.

Menurutnya pengalaman anak muda antara Singapura dengan kededua negeri ini boleh dieratkan menerusi pendidikan.

"Menerusi program pertukaran pelajar, yang boleh didalami untuk menggalak para pelajar agar terus berhubungan dan berinteraksi antara satu sama lain.

"Ini dapat memberi mereka memahami budaya, latar belakang dan perjalanan mereka kerana mereka adalah masa depan kita dan masa depan perhubungan antara Singapura dengan Malaysia," katanya.

Pada Rabu, Dr Maliki dan rombongannya telah bertemu Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menulis di Facebook, Dr Maliki berkata beliau senang hati mendengar rancangan Sultan Mizan untuk membangun ekonomi Terengganu dan mereka telah berbincang cara-cara Singapura boleh memberi sumbangan dalam usaha itu.

Dr Maliki juga berbincang tentang bidang kerjasama antara Singapura dengan Terengganu apabila bertemu Datuk Ahmad Samsuri.

"Kami mengadakan perbincangan baik tentang bidang kerjasama... termasuk pelancongan, teknologi pertanian dan pertukaran antara rakyat," kata Dr Maliki.

Di Kelantan, Dr Maliki turut bertemu Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faiz Petra dan beberapa pemimpin negeri dan perniagaan.

"Menerusi program pertukaran pelajar, yang boleh didalami untuk menggalak para pelajar agar terus berhubungan dan berinteraksi antara satu sama lain. Ini dapat memberi mereka memahami budaya, latar belakang dan perjalanan mereka kerana mereka adalah masa depan kita dan masa depan perhubungan antara Singapura dengan Malaysia." - Menteri di Pejabat Perdana Menteri, yang juga Menteri Kedua Pendidikan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman.