Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiga daripada lima pesalah dadah bawah umur 30 tahun: CNB

Bentuk 60 peratus jumlah pesalah dadah baru yang diberkas (561 pesalah) dan 33 peratus (912 pesalah) dari semua pesalah
Feb 11, 2022 | 5:30 AM
b9bf28a2-b31b-4db5-9a5e-8595ceca46ad
-

GOLONGAN muda terus membentuk sebahagian besar daripada penyalahguna dadah kali pertama, dengan tiga daripada lima pesalah di bawah umur 30 tahun.

Menurut perangkaan tahunan Biro Narkotik Pusat (CNB) yang dikeluarkan semalam, mereka membentuk 60 peratus daripada jumlah pesalah dadah baru yang diberkas (561 pesalah) dan 33 peratus (912 pesalah) daripada semua jumlah pesalah dadah yang ditangkap.

Jumlah tersebut berkurangan sedikit berbanding perangkaan 2020, di mana pesalah di bawah umur 30 tahun membentuk 62 peratus daripada semua pesalah dadah baru dan 41 peratus daripada semua pesalah dadah yang ditangkap.

CNB turut mencatat jumlah tangkapan yang berkurangan sedikit tahun lalu.

Biro itu menambah ia menangkap sejumlah 2,724 pesalah dadah pada 2021, turun daripada 3,056 pada 2020 dan 3,526 pada 2019.

Dadah methamphetamine, atau biasa dipanggil 'Ice', terus menjadi dadah paling kerap disalahgunakan di Singapura sejak 2015.

Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim, dalam catatan Facebook semalam berkata bilangan pesalah dadah yang diberkas tahun lalu berkurang sebanyak 11 peratus manakala pesalah dadah baru yang diberkas turun sebanyak 19 peratus.

Penurunan itu sebahagiannya boleh dikaitkan dengan sekatan ke atas interaksi sosial akibat langkah selamat Covid-19.

"Penguatkuasaan ketat oleh CNB telah membantu Singapura memerangi ancaman dadah.

"Ini adalah penting kerana jumlah besar dadah yang dirampas tahun lepas menunjukkan sindiket dadah akan terus mencari cara kreatif untuk mendapatkan dan mengedar dadah, seperti melalui aplikasi mesej selamat dan Kenderaan Udara Tanpa Pemandu (UAV)," katanya dalam Facebook.

Dr Faishal, yang juga Menteri Negara bagi Pembangunan Negara, menambah 60 peratus yang membentuk pesalah dadah baru itu menjadi "trend yang membimbangkan".

Beliau memberikan contoh bagaimana sesetengah negara, yang gagal menangani masalah dadah dengan berkesan, telah menggunakan strategi pengurangan bahaya atau tidak lagi menyifatkan ia sebagai jenayah atau 'menghalalkan' ia.

"Kepentingan komersial, lobi rahsia dan pemasaran yang mengelilingi banyak yang dipanggil 'dadah lemah' dengan tuntutan 'bermanfaat' yang tidak disahkan telah meresap ke dalam ruang dalam talian.

"Oleh itu, kita perlu memberi kesedaran kepada remaja kita tentang bahaya dan akibat daripada penyalahgunaan dadah.

"Dadah bukan sahaja memudaratkan pesalah, malah rakan dan keluarga mereka juga." kata Dr Faishal sambil menyeru semua pihak agar membantu menjadikan Singapura sebuah negara bebas dadah bagi generasi akan datang.

Pada 2019, Dr Faishal menekankan tinjauan oleh Majlis Mencegah Penyalahgunaan Dadah Kebangsaan (NCADA) yang menunjukkan individu di bawah umur 30 tahun kurang menyokong pendekatan toleransi sifar Singapura terhadap dadah berbanding mereka yang lebih tua.

Beliau menunjukkan bagaimana budaya pop telah menyumbang kepada normalisasi dan menggambarkan penyalahgunaan dadah sebagai glamor, telah mengekalkan "salah tanggapan bahawa dadah tidak berbahaya seperti yang sebenarnya".

Untuk memeranginya, CNB telah menganjurkan ceramah di sekolah rendah dan menengah untuk memberi amaran kepada pelajar tentang bahaya dadah.

Biro itu turut bekerjasama dengan pelajar dari Institut Pengajian Tinggi (IHL) untuk mencipta projek bersama, bagi menggalakkan golongan muda menjadi penyokong antidadah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg