Topik diikuti
Pergi ke BHku3 dibawa ke hospital selepas kemalangan 5 kenderaan di BKE
Tiga individu telah dibawa ke hospital susulan satu kemalangan yang melibatkan lima kenderaan pada 19 Ogos.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata mereka dimaklumkan tentang kemalangan yang berlaku di Ekspreswe Bukit Timah (BKE) menuju ke Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) sekitar 9 pagi.
Menurut polis, seorang pemandu bas lelaki berusia 57 tahun, penunggang motosikal lelaki berusia 54 tahun, dan pemandu kereta lelaki berusia 58 tahun, dikejarkan ke hospital dalam keadaan sedar.
Menukil laporan The Straits Times (ST) pada 19 Ogos, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) mengatakan bahawa tiga individu tersebut telah dibawa ke Hospital Woodlands.
Berdasarkan video yang dilihat BH mengenai keadaan jalan raya selepas kemalangan itu, bas tersebut dilihat telah melanggar penghadang jalan raya di tengah ekspreswe sebelum menembusinya.
Sebuah kereta juga boleh dilihat mengalami kerosakan teruk di bahagian belakang dan sebuah motosikal dilihat terbaring di atas jalan raya.
Menurut laporan ST, jurucakap SBS Transit, Cik Grace Wu, berkata kemalangan itu melibatkan sebuah bas 170 yang tidak beroperasi dan tidak membawa sebarang penumpang.
“Kami memohon maaf kepada semua pengguna jalan raya yang terjejas akibat kemalangan tersebut dan atas sebarang kesulitan yang ditimbulkan.
“Kami sedang membantu polis dalam siasatan mereka,” kata Cik Wu.
Pihak polis berkata siasatan masih dijalankan dan pemandu bas tersebut sedang membantu dalam siasatan.

