TIGA individu berusia 25 tahun didapati bersalah kerana menyebabkan kecederaan kepada seorang anggota polis sewaktu mereka sedang berpesta di sebuah kelab di Stesen Tenaga St James pada 2017.
Hakim Daerah, Cik Salina Ishak, mendapati ketiga-tiga mereka bersalah di akhir perbicaraan pada Rabu (1 Apr), lapor The Straits Times (ST).
Coretta Leong Yin Teng, Lim Yang Horng dan Marcus Goh Jun Fond disabit kesalahan menyebabkan kecederaan kepada Sarjan (Sgt) Tan You Chen, yang berpakaian preman semasa bertugas pada ketika itu.
Lim disabit satu lagi kesalahan kerana mencerca Sgt Tan.
Tiga teman itu berada di Envy Dance Club pada awal pagi 12 November 2017 di mana pada ketika itu, satu pertengkaran berlaku di lantai joget.
Setibanya Sgt Tan dengan rakannya di kelab itu setelah dimaklumkan mengenai pertengakaran tersebut pada 4 pagi, Sgt Tan menasihati ketiga-tiganya supaya keluar dari kelab tersebut tetapi mereka tidak mematuhinya dan turut terlibat dalam satu pergaduhan.
Setiap seorang tertuduh ditawar ikat jamin pada Rabu (1 Apr) bernilai $5,000 dan hukuman akan dijatuhkan pada 22 April ini.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg