TIGA lelaki ditahan dan lebih 4,000 karton rokok tidak dibayar cukai dirampas oleh Kastam Singapura dalam operasi pada 30 Disember 2022. Nilai duti yang tidak dibayar sekitar $387,200, manakala jumlah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang tidak dibayar sekitar $30,390. Ketiga-tiga lelaki warga Singapura itu, yang berusia antara 28 dengan 30 tahun, ditahan pegawai Kastam Singapura di ruang pemunggahan sebuah bangunan perindustrian di Ubi Crescent. Mereka dikesan berhampiran sebuah van dan pegawai menemui 1,124 karton rokok tidak dibayar cukai dalam kenderaan tersebut. Pegawai membuat pemeriksaan susulan ke atas sebuah unit di bangunan yang sama dan menemui 3,020 lagi karton rokok yang tidak dibayar cukai yang disembunyikan dalam tilam. Siasatan mendapati lelaki-lelaki itu disuruh untuk mengambil rokok yang disembunyikan dan membungkusnya semula untuk penghantaran.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg