Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiga ‘Guru Arif Budiman’ Bahasa Melayu dihargai

Oct 26, 2024 | 8:57 PM
(Dari kiri) Cik Siti Aishah Mohamed Kamsani, Cik Faridah Mohamed Ali, dan Cik Hafizah Yahya menerima Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) 2024.
(Dari kiri) Cik Siti Aishah Mohamed Kamsani, Cik Faridah Mohamed Ali, dan Cik Hafizah Yahya menerima Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) 2024. - Foto MLLPC

Bakti tiga guru dalam pengajaran bahasa Melayu diiktiraf apabila mereka diberi Anugerah Guru Arif Budiman (Agab) 2024.

Mereka ialah Cik Hafiza Yahya dari Sekolah Menengah Woodlands Ring bagi Agab kategori Teladan, dan Cik Faridah Mohamed Ali dari Sekolah Rendah Fuhua serta Cik Siti Aishah Mohamed Kamsani dari Sekolah Menengah Swiss Cottage, kedua-duanya bagi kategori Perangsang.

Anugerah itu disampaikan oleh Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Perdagangan dan Perusahaan, Dr Tan See Leng, di majlis penyampaian di pusat rekreasi The Chevrons di Jurong East pada 26 Oktober.

Cik Hafiza, 41 tahun, yang sudah berkecimpung dalam bidang pendidikan hampir 20 tahun, berkata beliau terharu kerana baginya, anugerah itu satu pengiktirafan bagi usahanya dalam pembentukan sahsiah dan kecemerlangan pelajar.

Ketua Jabatan Bahasa Ibunda itu berkata pelajar sekarang belajar melalui e-pembelajaran serta Internet, berbanding pelajar dahulu yang bergantung pada buku teks dan kelas fizikal.

“Selain itu, pelajar hari ini lebih berorientasikan hasil, melihat pendidikan sebagai alat untuk kerjaya, sementara pelajar dahulu menghargai proses pembelajaran.

“Oleh itu, guru mesti mahir mengambil hati mereka dan menjadikan bahan pembelajaran relevan untuk pelajar. Guru sekarang juga bukan lagi sumber utama ilmu kerana pelajar boleh mencari maklumat di Internet,” kata Cik Hafiza.

Bagi Cik Faridah, 31 tahun, anugerah itu penghargaan bagi usahanya memelihara warisan budaya sebagai guru Bahasa Melayu, dan sebagai peringatan untuk terus berbakti kepada masyarakat.

Beliau, yang sudah mengajar enam tahun, berhasrat terus menyemai nilai dalam diri pelajarnya demi memastikan generasi masa depan menghargai kekayaan bahasa Melayu dan melihatnya sebagai satu unsur penting dalam kehidupan.

“Anugerah ini tidak hanya memberikan saya inspirasi, bahkan menegaskan tanggungjawab saya untuk terus mengangkat wacana dan memperkayakan pengajaran bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda.

“Di sebalik kemajuan teknologi dan perubahan dunia, bahasa Melayu tetap relevan sebagai alat untuk membina identiti diri dan memperkukuh jati diri budaya kita,” ujarnya.

Cik Siti Aishah, 33 tahun, yang berpengalaman mengajar selama lapan tahun, pula berazam terus meningkatkan pendekatan pengajarannya dan memperluas pengetahuan demi membimbing pelajarnya. “Pada pandangan saya, masa depan pendidikan bahasa Melayu di sekolah menengah berpotensi untuk berkembang dengan baik.

“Pembaharuan terhadap kurikulum sekolah sekarang memudahkan para guru menyisipkan unsur budaya dalam pembelajaran di dalam kelas,” katanya.

“Sebagai contoh, cerita rakyat dan sajak kini dibaca dan dibincangkan dalam kelas. Hal ehwal semasa turut digunakan untuk menjadikan pembelajaran Bahasa Melayu dalam kelas lebih menarik… ini mendorong pelajar menghargai warisan bangsa kita,” kongsinya.

Ini tahun ke-18, sejak 2007, Agab disampaikan bagi mengiktiraf sumbangan guru Bahasa Melayu dalam pengajaran bahasa itu di sekolah. Agab telah mengiktiraf 77 guru Bahasa Melayu. Setiap tahun, Jawatankuasa Penganjur Agab memulakan proses pencalonan seawal Januari sehinggalah Oktober atau November.

Pengerusi bersama jawatankuasa penganjur Agab 2024 ialah ahli Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Profesor Madya Mohd Mukhlis Abu Bakar; naib presiden Persatuan Guru Bahasa Melayu (PGBM), Encik Abdul Harris Sumardi; ahli Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC), Cik Salbiah Abas; dan Editor Cetak Berita Harian, Encik Puad Ibrahim.

Dalam ucapannya, Dr Tan berkata bahasa Melayu bukan sekadar alat perhubungan, bahkan jambatan yang menghubungkan warisan, sejarah dan nilai budaya Melayu.

“Keindahannya terletak pada kedalamannya, dengan ungkapan dan pepatah yang membawa lapisan makna. Ini mencerminkan kebijaksanaan dan pengalaman nenek moyang kita,” katanya.

Cik Salbiah Abas, yang juga Timbalan Pengarah Jabatan Bahasa Ibunda Kementerian Pendidikan (MOE), berkata penerima Agab merupakan suri teladan kepada guru lain dan pelajar, dan mereka memikul amanah sebagai penggerak bahasa dan budaya Melayu.

“Peranan guru Agab sebagai suri teladan tidak terhad dalam lingkungan bilik darjah sahaja. Malah, kita akur, ramai guru Agab kita yang meluangkan masa di luar waktu sekolah untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.

“Guru Agab telah mempamerkan nilai Arif Budiman, iaitu insan berpengetahuan yang menyumbang kepada masyarakat, melalui pelbagai kegiatan yang menjurus kepada kelestarian bahasa, kesusasteraan dan budaya Melayu di peringkat nasional,” ungkap Cik Salbiah.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg