BAGI menggalak pengantaraan di peringkat awal, tiga jenis kes akan diwajibkan menjalani proses pengantaraan. Ini termasuk kes pertikaian masyarakat tertentu dan pertikaian antara jiran, sebelum mereka membuat tuntutan di Tribunal Huraian Pertikaian Masyarakat (CDRT), kata Menteri Undang-Undang Kedua, Encik Edwin Tong.
Beliau berkata semasa bahas Belanjawan pada Isnin perangkaan dan pengalaman menunjukkan proses pengantaraan amat berkesan dan banyak kes pertikaian masyarakat boleh meraih manfaat daripadanya.
Sebanyak 80 peratus kes pengantaraan sukarela yang diurus Pusat Pengantaraan Masyarakat (CMC) berjaya dihuraikan.
"Namun, kes sukarela yang ditangani oleh CMC adalah minoriti kerana banyak jiran tidak berusaha melakukan pengantaraan. Bagi menyediakan perangkaan khusus, kurang 30 peratus daripada kes sukarela itu menjalankan pengantaraan," ujar Encik Tong.
Ini mungkin kerana buat masa ini, proses pengantaraan adalah sesuatu yang sukarela, selain ada yang berpandangan mereka tidak ada isu untuk dileraikan, proses itu tidak berkesan dalam menghuraikan pertikaian atau mengheret kes itu ke mahkamah tanpa sebarang pengantaraan.
"Bagi menggalak pengantaraan di peringkat awal, kami merancang mewajibkan pengantaraan bagi tiga kategori kes. Pertama, untuk jenis pertikaian masyarakat tertentu. Denda akan dikenakan bagi mereka yang tidak menghadiri sesi pengantaraan mandatori," ujar Encik Tong.
Kedua, kes yang sudah dilerai dan dihurai di CMC tetapi timbul semula.
Ketiga, jiran berbalah akan dikehendaki menjalani pengantaraan, sebelum mereka boleh memfailkan tuntutan di CDRT. Ini akan mengelakkan pertikaian dibawa ke mahkamah.
Sementara iu, Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-Undang), Cik Rahayu Mahzam, berkata Penguasa Tanah Singapura (SLA) akan memberi wajah baru kepada kawasan 10 Kampong Eunos dan Dempsey, dalam usaha pemerintah terus menyegarkan hartanah milik negara.
"SLA mengenal pasti bekas Kelab Masyarakat Kampong Eunos di 10 Kampong Eunos untuk diubah suai sebagai pemacu kreatif dan studio inovasi bag belia," katanya.
Menurutnya, SLA akan bekerjasama dengan Vivita, sebuah pertubuhan yang memberi kesan sosial, untuk menawarkan program dan kemudahan bagi memupuk kemahiran kreatif dan pembuatan digital.
Bagi mengekalkan daya tarikan Dempsey sebagai destinasi gaya hidup dan tempat untuk masyarakat berkumpul, SLA akan memperbaiki prasarana kawasan itu untuk menjadikannya lebih mudah diakses dan mesra pengguna, seperti laluan pejalan kaki.
Memberikan perkembangan terkini menenai Pejabat Peguam Bela Awam yang ditubuhkan pada Disember 2022, Cik Rahayu berkata lebih 250 permohonan bantuan diterima sehingga 31 Januari 2023.
Seramai 13 peguam bela diambil oleh pejabat itu sejak ditubuhkan untuk meningkatkan akses kepada keadilan. Sekitar 130 permohonan telah selesai dinilai dan kira-kira 60 layak mendapat bantuan pembelaan jenayah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg