Tiga pelajar Darjah 3 Sekolah Rendah Sengkang Green telah digantung daripada kelas selepas mereka menghantar ugutan bunuh kepada ibu rakan sekelas mereka yang melaporkan pembulian terhadap anaknya.
Dalam catatan pada Khamis (14 Ogos), seorang pengguna Facebook bernama Cik Ni Yin mendakwa sebagai ibu mangsa dan memberi butiran dakwaan buli yang membawa kepada ugutan terhadapnya dan keluarganya.
Beliau juga memuat naik klip audio yang diterimanya.
Dalam klip itu, suara seorang kanak-kanak lelaki berkata: “Saya mungkin mengeratnya. Saya mungkin mengeratnya seperti kamu. Jadi yang mana satu yang kamu mahu saya lakukan? Kerat dia? Atau tamatkan hidupnya di sekolah? Pilih satu. Kalau tidak mahu, saya akan bunuh kamu dan suami kamu.”
Ibu itu berkata, anak perempuannya telah dibuli “berulang kali” dan meminta tindakan lebih tegas daripada Kementerian Pendidikan (MOE) serta pihak sekolah.
Sebagai tindak balas kepada pertanyaan media, Sekolah Rendah Sengkang Green berkata ia telah berhubung dengan ibu bapa kepada tiga pelajar berkenaan mengenai tindakan mereka, dan pelajar yang membuat panggilan serta ugutan telah digantung (daripada kelas) serta-merta.
Pihak sekolah juga berkata mereka akan mengkaji semula dan mengenakan tindakan disiplin lebih berat, termasuk hukuman sebat, selepas penyiasatan polis dijalankan.
Namun begitu, mereka juga menambah penyiasatan pihak sekolah mendapati bahawa pelajar yang terjejas (mendakwa dibuli) dikatakan terlibat dalam tingkah laku yang kurang menyenangkan.
“Perkara itu juga akan ditangani bagi memastikan pelajar terus belajar nilai hormat dan tanggungjawab,” menurut kenyataan Sekolah Rendah Sengkang Green kepada pihak media.
Cik Ni Yin dikatakan telah memberi tindak balas pada kenyataan media oleh sekolah itu dengan mengatakan dalam hantarannya:
“Sepatutnya pihak sekolah menangani krisis buli, ia sebaliknya memilih untuk memberitahu media bahawa ‘anak perempuan saya juga salah laku’ dan akan ditangani. Kenyataan sedemikian amat memudaratkan mangsa, mengalihkan perhatian umum, dan mengalihkan kesalahan kepada kanak-kanak itu.”
Cik Ni Yin meminta pihak sekolah memberikan semua bukti dakwaan sedemikian dan berkata jika anak perempuannya melakukan salah laku, beliau tidak akan menyembunyikannya.
Di samping itu, Cik Ni Yin mempersoalkan mengapa pihak sekolah tidak memaklumkannya tentang isu sebegitu dengan anak perempuannya, sambil mendakwa bahawa menyembunyikan maklumat sedemikian menghalang ibu bapa peluang untuk “mendidik dan membimbing anak kita tepat pada masanya”.
Cik Ni Yin memetik bahawa prestasi masa lalu anak perempuannya di sekolah juga bercanggah dengan dakwaan pihak sekolah. Menurut beliau, anak perempuannya tidak pernah menerima sebarang aduan, dan gurunya menyifatkan anaknya itu sebagai “membantu dan bertimbang rasa”.
“Kenapa sekarang, selepas kejadian buli itu diketahui umum, tiba-tiba pihak sekolah membangkitkan dakwaan salah laku?” tanya Cik Ni Yin.
Cik Ni Yin menambah bahawa anak perempuannya mengalami “gangguan emosi dan kebimbangan yang ketara” daripada kejadian itu, dan “kesejahteraan mental serta fizikal” gadis itu tetap menjadi keutamaan ibu.
“Sebaik sahaja saya menerima maklumat ini, saya akan dapat berunding dengannya dan dengan pakar psikologi yang dilantik kami untuk menentukan rancangan pulang ke sekolah yang selamat dan sesuai,” tulisnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg