TIMBALAN Peguam Negara (A-G), Encik Hri Kumar Nair, telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi oleh Presiden Halimah Yacob berkuat kuasa 2 Januari 2023.
Peguam Negara, Encik Lucien Wong, telah dilantik semula selama tiga tahun lagi, begitu juga dengan Timbalan Peguam Negara, Encik Lionel Yee.
Sementara itu, Hakim Mahkamah Tinggi Ang Cheng Hock telah dilantik sebagai Timbalan Peguam Negara berkuat kuasa 1 Oktober, kata Pejabat Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan media semalam.
Encik Wong pertama kali menyandang tugas itu pada 2017 dan dilantik semula pada 2020.
Di Singapura, Peguam Negara memainkan peranan sebagai pendakwa raya dan mempunyai kuasa memulakan, menjalankan atau menghentikan prosiding bagi sebarang kesalahan.
Encik Lionel Yee juga telah dilantik semula sebagai Timbalan Peguam Negara untuk tempoh tiga tahun lagi, dari 14 Januari 2023 hingga 13 Januari 2026.
Encik Yee mula dilantik sebagai Timbalan Peguam Negara pada 14 Januari 2017 untuk tempoh tiga tahun dan dilantik semula untuk penggal tiga tahun lagi pada 14 Januari 2020.
Sementara itu dalam badan kehakiman, Hakim Mahkamah Tinggi, Cik Belinda Ang, telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan dari 1 November hingga 23 April 2024.
Encik Andrew Phang pula akan bersara sebagai Hakim Mahkamah Rayuan berkuat kuasa 15 Disember selepas berkhidmat selama 17 tahun, kata Mahkamah Agung dalam satu kenyataan semalam.
Beliau telah dilantik sebagai hakim kanan di Mahkamah Agung dari 2 Januari 2023 hingga 4 Januari 2024.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg