Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Timbalan Presiden Afrika Selatan temu Presiden Tharman, PM Lee dalam lawatan rasmi

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Timbalan Presiden Afrika Selatan temu Presiden Tharman, PM Lee dalam lawatan rasmi

Dec 11, 2023 | 09:52 PM



Timbalan Presiden Afrika Selatan, Encik Paul Mashatile bertemu dengan Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong di Istana pada 11 Disember.

Lawatan Encik Mashatile – yang pertama buatnya dalam kedudukannya masa kini – sejajar dengan ulang tahun ke-30 tertubuhnya hubungan diplomatik Singapura dengan Afrika Selatan.

Ia juga “membina momentum positif dalam hubungan dua hala” menyusuli lawatan rasmi Encik Lee ke Afrika Selatan pada Mei, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) dalam satu kenyataan pada 11 Disember.

Dalam satu catatan Facebook pada 11 Disember, Presiden Tharman melahirkan rasa senangnya dapat bertemu dengan Encik Mashatile selepas kededua mereka kali terakhir bertemu pada 2019, apabila Encik Mashatile berada di Singapura di bawah Fellowship Pertukaran Lee Kuan Yew.

Dalam catatannya itu, Encik Tharman memberikan persamaan antara Afrika Selatan dengan Singapura, dengan menyatakan bahawa kededuanya merupakan negara pos-jajahan dengan campuran bangsa dan budaya.

Kededuanya terletak dalam kedudukan strategik di sepanjang laluan maritim, dengan pelabuhan paling sibuk dalam rantau masing-masing.

“Di sebalik jarak 9,000 kilometer antara kita, terdapat skop untuk mengukuhkan hubungan dua hala – menjangkaui hubungan diplomatik 30 tahun antara kededua negara tahun ini,” kata Encik Tharman.

“Saya menggesa Timbalan Presiden Encik Mashatile untuk terus bekerjasama dengan Singapura dalam bidang yang saling memanfaatkan, seperti pengurusan air, pendidikan vokasional, ekonomi digital, persediaan pandemik dan ketersambungan udara,” tambahnya.

Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong pula melahirkan rasa gembiranya untuk bertemu dengan Encik Mashatile selepas mereka bertemu kali terakhir pada Mei di Cape Town, ibu kota perundangan Afrika Selatan.

Semasa lawatan rasmi Encik Lee pada Mei, beliau dan Presiden Afrika Selatan Encik Cyril Ramaphosa menyaksikan tandatangan dua memorandum persefahaman, yang akan menyaksikan kededua negara bekerja lebih rapat dalam bidang seperti teknologi maklumat dan komunikasi serta pembangunan modal insan.

“Kami telah membangunkan hubungan ekonomi dan antara penduduk yang kukuh, serta pertukaran lawatan yang kerap yang mencerminkan betapa pentingnya hubungan kami,” kata Encik Lee dalam satu catatan Facebook pada 11 Disember.

“Timbalan Presiden Mashatile dan saya sekali lagi mengesahkan hubungan rapat yang kami nikmati.

“Kami komited untuk mengukuhkan terus hubungan dua hala, termasuk menerusi kerjasama teknikal dan menyelaras lebih pertukaran antara rantau kami,” tambahnya.

Lawatan Encik Mashatile selama tiga hari ke Singapura bermula pada 10 Disember.

Beliau dipelawa Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi, Encik Heng Swee Keat.

Pada 12 Disember, beliau akan menyampaikan ceramah awam di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew.

Ceramahnya itu akan “mengkaji saling hormat, persahabatan dan kerjasama strategik antara Afrika Selatan dengan Singapura,” menurut sekolah itu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >