Topik diikuti
Pergi ke BHkuTinggalkan kerjaya demi jaga ibu, kini cari ketenangan selepas pemergiannya
Tinggalkan kerjaya demi jaga ibu, kini cari ketenangan selepas pemergiannya
Selepas 32 tahun berkhidmat sebagai jururawat, Cik Ruhaida Sham, 54 tahun, membuat keputusan untuk meninggalkan pekerjaannya demi menjaga ibu yang menghidap demensia dan kegagalan buah pinggang tahap akhir pada 2023.
Baginya, pengorbanan itu bukan sesuatu yang perlu difikir panjang, sebaliknya peluang untuk membalas segala jasa dan kasih sayang ibunya yang telah membesarkannya.
Keputusan itu menyaksikan beliau mengetepikan kerjaya yang telah dibina selama lebih tiga dekad untuk memberikan sepenuh perhatian kepada ibunya.
“Saya dengan rela hati melepaskan kerja yang dah berpuluh tahun saya lakukan untuk jaga ibu saya.
“Pada saya, ibu saya hanya seorang, tak boleh digantikan,” kongsinya.
Selama dua tahun, beliau mengetepikan kerjaya yang telah dibina selama lebih tiga dekad untuk memberikan sepenuh perhatian kepada ibunya.
Namun, ibunya menghembuskan nafas terakhir pada 31 Mei 2025, meninggalkan kesan mendalam terhadap Cik Ruhaida, yang merupakan ibu tiga anak dewasa dan nenek kepada dua cucu.
Meskipun kini telah kembali bertugas sebagai jururawat, pengalaman menjaga dan kehilangan ibunya terus menjadi sebahagian penting daripada perjalanan kehidupannya.
Hasrat untuk memahami dan menguruskan perasaan selepas kehilangan itu mendorong beliau menghadiri forum, ‘Santunan Emas Siri Keenam’, di Masjid Al-Muttaqin pada 31 Oktober.
Ini merupakan kali pertama beliau menyertai program itu selepas mengetahui mengenainya menerusi Facebook.
Beliau tertarik dengan tema yang diketengahkan iaitu ‘Duka dalam Kehilangan: Panduan dan Persiapan Menghadapinya’, yang dirasakan amat dekat dengan pengalaman peribadinya.
“Sebenarnya, forum ini adalah untuk diri saya sendiri,” katanya ketika ditanya tentang sebab beliau menghadiri sesi berkenaan.
Program tersebut menampilkan mantan Mufti, Ustaz Mohamed Fatris Bakaram, bersama ahli terapi prinsipal di klinik kesihatan dan kesejahteraan mental Private Space Medical, Cik Siti Mariam Mohd Salim; dan Ketua Kejururawatan Rumah Jagaan NTUC Health Tampines, Cik Halijah Jantan.
Perbincangan dalam forum itu menyentuh tentang pelbagai bentuk kehilangan, proses kesedihan serta peranan sokongan emosi, perubatan dan kerohanian dalam membantu seseorang meneruskan kehidupan.
Bagi Cik Ruhaida, nasihat yang dikongsi barisan penceramah memberikan panduan untuk beliau menghadapi kehilangan dengan lebih tenang serta mencari keredaan Allah.
Beliau berharap dapat berpegang pada pengisian dan peringatan yang diperoleh daripada sesi itu dalam meneruskan kehidupan selepas pemergian ibunya.
Pengalaman itu membuktikan duka kehilangan tidak luput hanya kerana rutin harian bersambung; proses menerima pemergian insan tersayang adalah perjalanan panjang mengambil masa dan menuntut daya kekuatan dalaman.
