DI tengah-tengah landskap global yang berubah, Singapura perlu membuat penyesuaian untuk memastikan warga Singapura kekal berdaya saing dengan terus meningkatkan kemahiran, memperkukuh sokongan bagi pelajar berkeperluan khas dan memanfaatkan teknologi dalam pendidikan bagi pelajar yang kebolehannya berbeza-beza.
Demikian menurut Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing, dalam adendum (kenyataan tambahan) beliau kepada ucapan Presiden Halimah Yacob sewaktu pembukaan Parlimen pada Isnin.
Mengulas lanjut, beliau berkata gerakan SkillsFuture akan diperkukuh untuk lebih menyokong individu dalam meningkatkan kemahiran dan menimba kemahiran sepanjang hidup supaya dapat merebut peluang baru di tengah-tengah perubahan ekonomi dan gangguan pasaran buruh.
Ini termasuk memastikan latihan mudah diakses pelajar dewasa, membangunkan pendekatan andragogi baru dan bekerjasama rapat dengan syarikat, kesatuan serta institusi latihan bagi mengeratkan hubungan antara keperluan perniagaan, latihan dan kemahiran pekerja.
Dalam pada itu, sokongan lebih kukuh akan diberikan kepada pekerja pertengahan kerjaya, khususnya, dalam mengurangkan kesan yang boleh dialami bagi latihan sekiranya mereka perlu meraih kemahiran yang banyak.
"Pada masa yang sama, rakyat kita akan perlu memanfaatkan sepenuhnya peluang ini dengan membangunkan pemikiran mahu berkembang dan minat terhadap pembelajaran sepanjang hayat," ujarnya.
Seterusnya, Encik Chan berkata sokongan bagi pelajar yang mempunyai keperluan pendidikan khas akan diperkukuh.
Pengalaman pendidikan bagi pelajar tersebut di sekolah aliran utama mahupun Pendidikan Khas (Sped) akan terus juga diperkukuh.
MOE, katanya, akan bekerjasama dengan agensi perkhidmatan sosial untuk memperbaiki kemajuan kerjaya dan gaji dalam sektor Sped.
"Ini akan memperbaiki mutu Sped dan membolehkan pelajar kita untuk menjalani kehidupan bermakna dan berdikari dengan lebih baik," tambahnya.
Beliau turut menyentuh tentang penggunaan teknologi bagi menyesuaikan pengajaran dan pembelajaran bagi pelajar berkemampuan berbeza dan berkata akan terus melabur dalam teknologi pendidikan bagi mencungkil yang terbaik daripada setiap anak.
Contohnya, wadah pembelajaran adaptif yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI) akan membolehkan lebih ramai pelajar lanjut untuk menguji kebolehan diri, sambil memberi guru masa yang terluang supaya memberi tumpuan kepada pelajar yang mempunyai keperluan pembelajaran lebih besar.
Encik Chan berkata semua orang mempunyai peranan dalam membentuk dan memperkukuh kompak sosial negara. Malah, mereka yang telah mencapai yang baik dalam kehidupan patut menyumbang kembali dan menyokong mereka yang kekurangan.
"Kejayaan perlu ditakrifkan bukan hanya menerusi pencapaian seseorang, tetapi juga dengan bagaimana kita menyumbang kepada kebaikan am. Dengan beralih melebihi mengejar kelayakan kertas dan mendakap definisi kejayaan lebih luas, sistem pendidikan kita boleh mencungkil yang terbaik dalam setiap anak dan memperkukuh daya tahan kita sebagai sebuah negara menerusi kepelbagaian kekuatan kita," kata Encik Chan.
MERITOKRASI LEBIH LUAS, TERBUKA DAN INKLUSIF
KEMENTERIAN TENAGA MANUSIA (MOM)
KEMENTERIAN PENDIDIKAN (MOE)
APA KATA AP
TINGKAT SOKONGAN BAGI PEKERJA
"Tiga perkara yang menarik perhatian ialah pertama, perubahan pemikiran dari segi bagaimana kita mendekati pekerjaan, pekerja dan tempat kerja. Selanjutnya tentang usaha lebih mendalam untuk menyokong golongan lemah dan memastikan tiada yang ketinggalan. Sama penting ditekankan ialah perubahan kepada sistem berdasarkan kemahiran, kami melihat ini sudah bermula di sekolah, jadi bagaimana untuk memulakannya di tempat kerja. Isu pekerja juga menjadi perhatian - pekerja membentuk sebahagian penting dalam kompak sosial baru yang disegarkan. Satu perkara asas kekal, iaitu pekerja boleh menjangkakan perubahan besar dijalankan dan sementara itu, kita harus mendakap pembelajaran sepanjang hayat sebagai perkara yang semula jadi dalam hidup kita." - Mayor CDC South East, Encik Mohd Fahmi Aliman.
PERBAIKI SISTEM PENDIDIKAN
"Pertama sekali, pendidikan pembangunan awal kanak-kanak memainkan peranan besar dalam pembangunan kognitif, sosial dan emosi seorang anak. Memastikan semua kanak-kanak mempunyai akses kepada sumber dan pendidikan bermutu daripada usia awal membantu meratakan ruang persaingan, lebih-lebih lagi bagi mereka daripada latar belakang kurang bernasib baik... Kedua, mengurangkan tekanan kompetitif dalam sistem pendidikan membolehkan pelajar memberi tumpuan terhadap minat dan pembangunan holistik mereka daripada sekadar berusaha ke arah kecemerlangan akademik. Ini memupuk sekitaran pembelajaran yang lebih inklusif dan kolaboratif, menggalakkan kreativiti dan inovasi dalam jangka masa panjang." - AP GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah.
PENDEKATAN INKLUSIF TERHADAP SEMUA GOLONGAN
"Berlaku inklusif terhadap golongan kurang upaya dan mereka yang berkeperluan khas adalah amat penting sedang kita beralih ke tahap pertumbuhan seterusnya di Singapura. Sedang kita bangkit daripada Covid-19, akan terdapat banyak cabaran dan kita perlu kekal bersatu untuk terus mendorong pertumbuhan ekonomi, tetapi kita perlu memastikan pertumbuhan itu bersifat inklusif dan membolehkan orang ramai tidak kira usia, jantina, golongan kurang upaya untuk turut menyumbang kepadanya. Kita juga boleh memikirkan bagaimana untuk mereka semula pekerjaan, menawarkan kerja jarak jauh contohnya kepada golongan kurang upaya... Masyarakat juga perlu mengubah pemikiran supaya kita dapat memberi peluang kepada semua." - AP GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg