Tingkat niaga putu piring dengan proses baru, pendigitalan
Tingkat niaga putu piring dengan proses baru, pendigitalan
MENDIRIKAN gerai kecil di tepi jalan sejak 1930-an sebelum membuka gerai fizikal pada 1985, Putu Piring Haig Road telah melalui banyak perubahan dan transformasi untuk mengembangkan perniagaannya.
Pengarah Putu Piring Haig Road, Cik Nooraisha Mohamad Hashim, berkata dengan mencipta proses baru untuk meningkatkan produktiviti dan menjalankan usaha pendigitalan telah membolehkan perniagaan itu berkembang ke tahap sekarang.
Meskipun menghadapi beberapa cabaran untuk menyesuaikan diri dengan teknologi yang baru, Cik Nooraisha menekankan kepentingan untuk melakukan demikian supaya dapat terus meningkatkan kecekapan perniagaannya.
Antara penyesuaian yang telah diterapkan adalah untuk mengurangkan proses manual dan intensif yang memerlukan kakitangan yang ramai.
"Sejak 2015, kita sudah mula untuk beralih kepada menggunakan mesin untuk melakukan kerja-kerja yang intensif seperti mengayak tepung dan mencincang gula melaka di dapur pusat," katanya.
Dari segi pendigitalan perniagaan pula, Cik Nooraisha berkata mereka telah melakukannya secara bertahap.
"Pada awalnya kami mula melakukan pembayaran melalui pelbagai kaedah transaksi perbankan dalam talian dan penyepaduan akaun-akuan berlainan kita dengan sistem bersepadu penjualan (POS).
"Selain itu, kami juga menyesuaikan sistem pembayaran gaji HR (sumber manusia) untuk datang bekerja dan kad perakam waktu serta menawarkan khidmat penghantaran melalui laman web kami," tambahnya.
Dengan seramai 70 peratus kakitangannya merupakan warga emas, Cik Nooraisha berkata kadangkala mereka menghadapi cabaran untuk kakitangannya memahami cara menggunakan teknologi-teknologi baru ini.
Namun begitu beliau menjelaskan bahawa terdapat pelbagai sokongan beliau telah mendapati untuk memudahkan proses peralihan kepada dunia digital.
"Melalui Geran Huraian Produktiviti (PSG) dan skim Geran Pembangunan Perusahaan (EDG) yang ditawarkan oleh pemerintah, kami banyak menerima bimbingan bagaimana untuk menjalankan transformasi bagi perniagaan ini.
"Contohnya bagaimana kami dapat menawarkan khidmat penghantaran dan tempahan dalam talian bagi pelanggan-pelanggan kami.
"Selain itu kami juga menerima banyak bimbingan daripada anggota Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) serta rakan-rakan lain untuk bersama-sama maju dan menyesuaikan diri mengikuti keadaan," ujarnya.
Beliau juga berharap pemerintah dapat terus mengiklankan program-program lain untuk merangsang perniagaan pendigitalan perniagaan mereka.
Mengendali enam cawangan berlainan sekarang, Ci k Nooraisha berharap dapat terus mengenalkan proses baru kepada kakitangannya.
"Saya sebenarnya ingin memperkenalkan automasi untuk memudahkan proses dalam membantu warga emas menghadapi tugas harian mereka.
"Untuk melakukan demikian, saya berharap dapat mencari jurutera yang boleh mengautomasikan mesin Putu Piring dalam masa akan datang," katanya.

