Selain label bahan, pihak berkuasa akan meningkatkan usaha mengenal pasti gerai yang menyediakan hidangan sihat dengan label di depan kedai daripada Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.
Berucap di persidangan Pertubuhan Doktor Keluarga Sedunia (WONCA) di Pusat Konvensyen Raffles City pada 22 Ogos, beliau berkata:
“Kedai makanan yang mengamalkan hidangan lebih sihat, sama ada dengan menggunakan bahan-bahan yang lebih sihat atau kurang menggunakan garam atau sos, dan memohon kepada HPB untuk mempamerkan label di depan kedai akan menjadi maklumat berguna kepada pembeli.”
Oleh itu, akan terdapat penglibatan lanjut dengan pengendali makanan dan minuman (F&B) untuk menggalakkan penyertaan dan penggunaan garam, sos, perasa atau minyak lebih sihat dalam kalangan pengendali F&B.
Langkah ini diharapkan dapat mempengaruhi tingkah laku pengguna dan meningkatkan permintaan bagi pilihan lebih sihat seperti yang di bawah Program Makan Lebih Sihat (HDP).
Sehingga Mac 2024, lebih 3,100 pengendali F&B, pusat penjaja dan kedai kopi dengan lebih 9,000 gerai di serata negara telah menyertai HDP yang menawarkan sekurang-kurangnya satu pilihan lebih sihat dalam menu mereka.
Selain itu, Program Promosi Bahan Lebih Sihat (HIPP) yang bermula pada Julai 2024 telah mendidik para penjaja tentang keperluan mengurangkan natrium, menyediakan sampel dan menggalakkan pertukaran kepada bahan-bahan natrium yang lebih rendah.
Ia juga akan meningkatkan penglibatan dengan pengedar untuk meningkatkan bekalan bahan-bahan yang lebih sihat daripada pengeluar kepada pengendali F&B di bawah program itu.
Sebanyak 60 pusat penjaja akan terlibat dalam program itu pada 2024, dan 50 lagi pada 2025, merangkumi sebanyak 110 pusat penjaja.
MOH dan HPB akan terus berunding dengan pihak berkepentingan, pengguna dan industri dalam membangunkan butiran pelaksanaan bagi lanjutan langkah gred nutrien itu.
Ini termasuk peningkatan pada reka bentuk label, keperluan pematuhan, masa yang diperlukan untuk industri membuat persediaan dan penyesuaian, dan sebagainya.
Selain itu, label Nutri-Grade yang dilancarkan pada 2022 dan larangan pengiklanan akan diperluas kepada sumber-sumber utama natrium dan lemak tepu yang termasuk garam, sos dan perasa, mi segera serta minyak masak.
Pada masa ini, label membantu pengguna mengenal pasti produk untuk minuman yang lebih tinggi gula dan/atau lemak tepu.
“Kami telah melakukan dengan agak baik untuk menyederhanakan pengambilan gula.
“Kami memutuskan untuk tidak mengenakan cukai gula, sebaliknya melabelkan minuman yang dibungkus – daripada gred ‘A’ yang mempunyai kandungan gula paling rendah kepada gred ‘D’ yang mempunyai kandungan gula tertinggi dan membiarkan pengguna membuat pilihan mereka,” kata Encik Ong.
Ini susulan MOH melancarkan “perang” atas kencing manis pada 2016 bagi menggerakkan usaha seluruh masyarakat bagi menangani penyakit itu.
Penyakit kencing manis menjadi kebimbangan kesihatan yang serius di Singapura dengan bilangan penduduk yang menghidap penyakit itu dijangka mencecah 1 juta pada 2050 jika tiada apa yang dilakukan sebagai tindak balas kepada kesan kesihatan yang ketara dan beban masyarakat yang ditimbulkan oleh kencing manis.
Label cap gred nutrien adalah wajib bagi produk dengan gred ‘C’ dan ‘D’ tetapi secara sukarela untuk gred ‘A’ dan ‘B’.
Pengiklanan juga dilarang bagi minuman dalam kategori ‘D’.
Dari April hingga Mei 2024, MOH dan HPB telah menjalankan dialog industri dengan lebih 60 pengilang, pengendali F&B, peruncit dan pengedar untuk mendapatkan pandangan mereka.
Pemilik media seperti agensi pengiklanan juga menyokong sekatan pengiklanan untuk menggalakkan diet lebih sihat.
Label Nutri-Gred akan mengekalkan ciri-ciri utama dengan natrium dan lemak tepu yang utama.
Pada masa ini, pengambilan natrium yang tinggi di Singapura disumbangkan oleh garam (40 peratus), sos dan perasa (24 peratus) yang ditambah pada makanan, serta mi segera (10 peratus).
Pengambilan natrium yang berlebihan merupakan faktor risiko utama bagi hipertensi, manakala pengambilan lemak tepu yang berlebihan merupakan penyebab kepada hiperlipidaemia.
Mulai 2022, warga Singapura menggunakan hampir dua kali ganda had natrium yang disyorkan.
Warga Singapura juga menggunakan 36 peratus lemak diet yang datang daripada lemak tepu, yang melebihi had yang disarankan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg