Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tinjauan HDB: Penghuni bujang cenderung milik rumah sendiri berbanding sewa

Nov 27, 2025 | 11:57 AM
SHS, HDB, sample household survey, tinjauan, singles, bujang
Menurut Tinjauan Sampel Isi Rumah (SHS) 2023/24 yang dikeluarkan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada 27 November, golongan bujang yang tinggal bersama keluarga kini menunjukkan kecenderungan untuk membeli rumah sendiri berbanding menyewa. - Foto fail

Golongan bujang yang tinggal bersama ibu bapa atau anggota keluarga terdekat kian menunjukkan kecenderungan memiliki rumah sendiri berbanding menyewa.

Dalam Tinjauan Sampel Isi Rumah (SHS) 2023/24 yang dikeluarkan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada 27 November, ia mendapati sebanyak 80.3 peratus penghuni bujang tidak mempunyai niat atau perancangan jelas untuk berkahwin, namun 66.2 peratus daripada golongan itu mempunyai niat berpindah.

Dalam pada itu, kira-kira tujuh daripada 10, atau 72.3 peratus, daripada mereka merancang membeli unit rumah sendiri berbanding menyewa.

Daripada peratusan itu, sebahagian besar memilih unit perumahan baru berbanding unit jualan semula atas sebab kemampuan serta suasana kediaman lebih baru, kata HDB.

Unit perumahan merujuk kepada semua jenis kediaman, termasuk perumahan awam dan swasta seperti flat HDB, kondominium dan sebagainya.

Dijalankan setiap lima tahun sejak 1968, SHS ke-12 itu merangkumi profil penduduk, tahap kepuasan dan pilihan perumahan, termasuk kepuasan terhadap persekitaran kediaman serta kemudahan kejiranan.

Tinjauan itu turut merangkumi kesejahteraan sosial yang meliputi hubungan kekeluargaan, susunan tempat tinggal dan hubungan kejiranan.

Bagi SHS 2023/24, kira-kira 7,000 isi rumah dan lebih 1,600 penghuni bujang di semua bandar dan kawasan HDB ditemu bual antara Oktober 2023 dengan April 2024.

Ini juga merupakan kali pertama HDB menyertakan kategori penghuni bujang dalam tinjauannya bagi memahami lebih mendalam niat dan perancangan perumahan golongan tersebut.

Menurut HDB, sebahagian besar golongan itu kini tinggal bersama ibu bapa atau anggota keluarga terdekat, dan sebanyak 82.2 peratus berusia di bawah 35 tahun.

Dalam pada itu, 81.6 peratus daripada mereka tinggal di flat jualan semula empat bilik atau lebih besar.

Golongan bujang juga didapati mempunyai hubungan kekeluargaan yang erat, dengan sebanyak 87.4 peratus memiliki hubungan rapat bersama ibu bapa manakala 80.6 peratus memiliki hubungan rapat bersama adik-beradik.

Tinjauan tersebut mendapati meski berpindah keluar, sebahagian besar golongan bujang tetap akan memberi sokongan kepada ibu bapa mereka dari segi kewangan (96.9 peratus), fizikal (92.9 peratus) dan emosi (93 peratus).

“Bagi menyokong aspirasi pemilikan rumah dalam kalangan bujang serta keperluan penjagaan keluarga, akses kepada perumahan awam telah dipertingkat secara berperingkat,” kata HDB.

Perkembangan itu dapat dilihat melalui tawaran flat fleksi dua bilik dalam projek Standard, Plus dan Prime di seluruh Singapura yang dibuka bagi golongan bujang sejak Oktober 2024.

Selain itu, Skim Penjagaan Keluarga (FCS) (Tinggal Berhampiran) juga diperkenal pada Julai 2025 untuk memberi keutamaan kepada golongan bujang yang ingin tinggal bersama atau berhampiran ibu bapa mereka.

FCS (Pengundian Bersama) yang diperkenal pada Oktober 2025 juga membolehkan ibu bapa dan anak bujang pemohon kali pertama membuat permohonan bersama bagi dua unit dalam projek yang sama.

“Kami akan terus menilai dan memperhalus dasar perumahan bagi memenuhi keperluan golongan bujang,” tambah HDB.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg