Topic followed successfully
Go to BHkuTinjauan: Hidup-kerja seimbang lebih penting dari gaji
Tinjauan: Hidup-kerja seimbang lebih penting dari gaji
Tinjauan: Hidup-kerja seimbang lebih penting dari gaji

KEPUASAN bekerja serta keseimbangan dalam pekerjaan dan kehidupan merupakan faktor yang lebih penting daripada gaji apabila memilih pekerjaan.
Demikian respons satu tinjauan yang dijalankan pertubuhan menggalak kesihatan mental Silver Ribbon (Singapura).
Dapatan tinjauan itu diumumkan di Majlis Anugerah Kesihatan Mental Silver Ribbon buat majikan yang diadakan secara maya semalam.
Tinjauan dalam talian yang dilancarkan pada 21 Mac lalu itu juga mendapati 63 peratus responden berasa tertekan secara sederhana di tempat kerja manakala 28 peratus melaporkan tahap tekanan yang tinggi.
Sekitar 36 peratus responden mengaitkan tekanan mereka dengan masalah yang dihadapi di tempat kerja, berbeza dengan lima peratus yang berkata ia berpunca daripada masalah bukan dari tempat kerja.
Sekitar 59 peratus pula berkata tekanan yang mereka hadapi adalah gabungan daripada kedua-dua jenis masalah.
Seramai 535 responden menyertai tinjauan bukan saintifik itu yang dikongsi di platform media sosial Silver Ribbon (Singapura).
Mengulas dapatan tinjauan di majlis anugerah itu, Presiden Silver Ribbon (Singapura), Cik Ellen Lee, berkata:
"Zaman ini telah berubah dan mempunyai gaji yang menarik bukan lagi satu-satunya sebab untuk seseorang kekal dalam pekerjaan.
"Oleh itu, kami merasakan bahawa ia akan membantu majikan dan pekerja untuk berkumpul dan berbincang untuk menghuraikan masalah supaya mereka akan lebih memahami keperluan dan harapan masing-masing."
Seramai 11 syarikat telah diiktiraf atas usaha mereka mempromosikan kesihatan mental dan kesejahteraan di tempat kerja tahun ini.
Syarikat yang menerima anugerah itu ialah Aetos Holdings; Bizlink Centre Singapore; FedEx Express; Home Team Academy; Jardine Mindset; Johnson & Johnson; Pocari Sweat Singapore; PSA Corporation; SBS Transit; Angkatan Pertahanan Awam Singapura (SCDF); dan Twitter Asia Pasifik.
Tetamu terhormat, Menteri Negara (Pendidikan merangkap Tenaga Manusia), Cik Gan Siow Huang, berkata menyokong kesejahteraan mental penduduk Singapura termasuk pekerja sentiasa menjadi keutamaan pihak pemerintah.
Menurut beliau, keutamaan itu adalah sebabnya pasukan petugas antara agensi mengenai kesihatan mental dan kesejahteraan ditubuhkan.
Beliau turut menambah pasukan petugas itu telah mengenal pasti bahawa sokongan pekerjaan untuk mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental adalah salah satu bidang tumpuan mereka.
Bagi mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental, mereka mungkin memerlukan fleksibiliti dalam jadual pekerjaan supaya boleh kekal dalam pekerjaan sambil meneruskan sesi terapi atau kaunseling.
Orang lain juga mungkin memerlukan bantuan dalam proses pencarian kerja, tambah Cik Gan.
Menurutnya, pelbagai pertubuhan di sini, termasuk Institut Kesihatan Mental (IMH) dan Persatuan Kesihatan Mental Singapura, memberikan sokongan kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental dan majikan mereka sebelum dan semasa bekerja.
Beliau menggalakkan lebih ramai majikan untuk bekerjasama dengan pertubuhan seperti IMH dan Persatuan Kesihatan Mental Singapura.
"Kita harus mengukuhkan lagi sokongan di tempat kerja untuk mengekalkan dan memperbaiki keadaan kesejahteraan mental pekerja kita dengan mengenal pasti faktor yang mempengaruhi tekanan di tempat kerja, dan keadaan keseluruhan kesejahteraan mental pekerja," kata beliau.

