Lebih ramai penduduk Singapura menyokong hukuman mati mandatori bagi kesalahan berkaitan dadah, dengan 68.7 peratus responden amat setuju atau setuju bahawa hukuman itu wajar bagi kesalahan pengedaran sejumlah besar dadah.
Demikian menurut dapatan tinjauan 2023 oleh Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).
Jumlah itu lebih tinggi berbanding 65.6 peratus responden yang menyatakan mereka amat setuju atau setuju dalam tinjauan pada 2021.
Laporan tinjauan 2023 MHA itu, yang dikeluarkan pada 19 September, turut menunjukkan lebih ramai responden menyokong bahawa hukuman mati berkesan sebagai penghalang terhadap pengedaran dadah.
Sekitar 87.9 peratus responden amat setuju atau setuju bahawa hukuman mati mencegah kesalahan pengedaran sejumlah besar dadah – naik daripada 83.2 peratus dalam tinjauan 2021.
Sebahagian besar responden, atau 87.9 peratus, juga menyatakan mereka yakin bahawa tertuduh dalam kes hukuman mati di Singapura melalui perbicaraan yang adil dan ketat.
Isu hukuman mati diketengahkan Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang, Encik K. Shanmugam, semasa menyampaikan Kenyataan Menteri mengenai pendekatan Singapura terhadap kawalan dadah di Parlimen pada 8 Mei.
Encik Shanmugam menekankan bahawa hukuman mati perlu dikekalkan kerana ada bukti jelas yang menunjukkan ia menjadi satu penghalang berkesan terhadap pengedar dadah.
Beliau juga berkata sesetengah aktivis berusaha membangkitkan rasa simpati dengan menampilkan imej sistem keadilan jenayah yang tidak adil terhadap pengedar dadah, dengan sekumpulan kecil aktivis cuba mengelirukan orang ramai dengan maklumat salah.
Secara umum, laporan tinjauan 2023 MHA itu menunjukkan kadar penduduk Singapura yang menyokong hukuman mati bagi jenayah paling serius – seperti membunuh dengan sengaja, mengedar sejumlah besar dadah, dan menggunakan atau cuba menggunakan senjata api dengan niat menyebabkan kecederaan fizikal – telah meningkat.
Lebih tiga suku, atau 77.4 peratus, responden amat setuju atau setuju bahawa hukuman mati harus dikenakan bagi jenayah paling serius yang disebutkan, naik daripada 73.7 peratus dalam tinjauan 2021.
Tinjauan itu, yang dijalankan antara April dengan Jun 2023, melibatkan sekitar 2,000 penduduk Singapura, merangkumi rakyat dan Penduduk Tetap (PR) berusia 15 tahun dan ke atas.
Antaranya, 74.3 peratus responden amat setuju atau setuju hukuman mati mandatori adalah wajar bagi kesalahan berkaitan senjata api – naik daripada 71.1 peratus dalam tinjauan 2021.
Bagi kesalahan pembunuhan dengan sengaja pula, peratusannya meningkat daripada 80.5 peratus dalam tinjauan 2021 kepada 85 peratus dalam tinjauan 2023.
Dalam kalangan mereka yang tidak setuju dengan hukuman mati mandatori bagi tiga jenayah paling serius itu, ada segelintir yang menyatakan bahawa hukuman mati mengikut budi bicara adalah lebih sesuai.
Ini setelah mereka ditanya sama ada hukuman mati mengikut budi bicara atau hukuman penjara seumur hidup adalah lebih wajar.
Mengambil kira responden sedemikian, laporan tinjauan 2023 itu mendapati sebahagian besar responden bersetuju bahawa hukuman mati – sama ada mandatori atau mengikut budi bicara – adalah wajar bagi tiga jenayah paling serius itu.
Misalnya, 75.5 peratus responden bersetuju dengan hukuman mati mandatori atau mengikut budi bicara bagi pengedaran sejumlah besar dadah; 81.3 peratus bagi kesalahan senjata api; dan 88.7 peratus bagi pembunuhan dengan sengaja.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg