Topic followed successfully
Go to BHkuTinjauan: Tahap kepercayaan warga S'pura terhadap sains masih tinggi
Tinjauan: Tahap kepercayaan warga S'pura terhadap sains masih tinggi
Tinjauan: Tahap kepercayaan warga S'pura terhadap sains masih tinggi

KEPERCAYAAN terhadap bidang sains dan saintis masih di tahap tinggi.
Namun, tanggapan bahawa maklumat salah dilaporkan oleh sumber berita tradisional dan media sosial secara meluas akan mengancamkan kebolehpercayaan sains dan saintis.
Demikian rumusan kajian setahun tentang tanggapan global terhadap sains.
Indeks Keadaan Sains 3M 2022 yang dikendalikan tahun lalu bersama 1,000 orang dewasa berusia 18 dan ke atas di 17 negara menyimpulkan bahawa sembilan daripada 10 warga Singapura mempercayai sains dan saintis.
Secara global, sembilan daripada 10 orang juga mempercayai sains dan saintis, lapor The Straits Times.
Bagaimanapun, di mana warga Singapura mendapatkan maklumat boleh menghakis kepercayaan mereka dalam sains, kata perbincangan panel maya yang membentangkan kajian tersebut kelmarin.
Walaupun kajian tersebut mendapati 90 peratus warga Singapura mempercayai sebahagian besar maklumat yang dikongsi di media sosial salah, lebih separuh, atau 51 peratus masih mempercayai fakta saintifik yang dikongsi di media sosial.
Sebagai perbandingan, sedang 68 peratus warga Singapura berpendapat maklumat salah berleluasa di media berita dalam talian, cetak dan televisyen, 86 peratus masih mempercayai maklumat saintifik yang disiarkan dalam sumber media tradisional itu.
Penulis tinjauan tersebut berkata maklumat yang salah yang dikongsi secara meluas di media sosial akan akhirnya mengurangkan kebolehpercayaan saintifik dan kepercayaan dalam sains.
Penyelidikan tersebut dikendalikan syarikat penyelidik pemasaran Ipsos secara dalam talian dan luar talian.
Ketua Operasi Penyelidikan dan Pembangunan 3M Asia Tenggara, Cik Chan Yen Sze, berkata perbezaan antara ketidakyakinan terhadap media sosial dan kepercayaan terhadap maklumat berkaitan sains yang dikongsi mungkin disebabkan kadar kecelikan media yang berbeza dalam sebuah kumpulan responden berbeza.
Mereka yang membesar dengan media sosial akan lebih sensitif terhadap maklumat salah yang disiarkan dalam talian dan bagi mereka yang tidak, mereka lebih kemungkinan mempercayai maklumat yang salah, tambah beliau.
Ketua eksekutif Lembaga Pusat Sains, Encik Lim Tit Meng, berkata warga Singapura mungkin mendapatkan maklumat saintifik daripada media sosial walaupun menyedari maklumat salah menular di media sosial kerana mereka boleh membezakan fakta daripada cereka.
Cikgu Irfan Darian daripada Sekolah Sains dan Teknologi Singapura juga akur dengan sentimen tersebut.
"Orang ramai masih merujuk kepada media sosial untuk mendapatkan maklumat saintifik, tetapi pada masa yang sama, ada perasaan ketidakyakinan terhadap maklumat yang terdapat di media sosial," ujar beliau.

