Bekas jurucakap Joseph Schooling berdepan dengan 21 tuduhan menipu
Bekas jurucakap Joseph Schooling berdepan dengan 21 tuduhan menipu
BEKAS ejen sukan Mohamed Hafidz Ja'afar, yang sebelum ini merupakan jurucakap juara renang Olimpik, Joseph Schooling, dan menguruskan sekolah renang Schooling, telah didakwa atas kesalahan menipu beberapa orang.
Antara tuduhan yang didakwa ke atasnya termasuk memperdaya orang ramai agar membuat bayaran bagi perlawanan bola sepak palsu dan tiket konsert muzik palsu, pelaburan dan pakaian sukan.
Pada Jumaat (27 Ogos), lelaki 38 tahun itu didakwa dengan 21 tuduhan menipu bagi kesalahan yang berlaku antara November 2017 dengan Julai 2019.
Penipuan itu secara keseluruhannya bernilai sekitar $87,300.
Sebanyak 13 dakwaan melibatkan tuduhan mengambil wang daripada beberapa orang agar membeli tiket bagi Piala Kejuaraan Antarabangsa (ICC) - perlawanan bola sepak pertunjukan - di Singapura pada 2019 tetapi tidak mengirim tiket tersebut.
Edisi ICC 2019 itu menampilkan pasukan Eropah, Manchester United, Tottenham Hotspur, Juventus dan Inter Milan.
Hafidz juga dituduh menipu orang lain agar membayar tiket bagi konsert U2 pada 2019, membuat pelaburan dan membeli pakaian sukan termasuk pakaian sukan triatlon dan kasut.
Dia dijangka kembali ke mahkamah pada 8 Oktober.
Bagi kesalahan menipu, si pesalah boleh dipenjara hingga 10 tahun dan dikenakan denda.
Hafidz sebelum ini menolong keluarga Schooling dengan pertanyaan media menyusuli kejayaan perenang itu dalam Sukan Olimpik Rio 2016.
Dia juga bekerja sambilan di sekolah renang Schooling, Swim Schooling, tetapi diberhentikan selepas laporan mengenai penipuan tiket ICC timbul pada Julai 2019.

