SELEPAS tiga tahun didakwa atas kesalahan menipu, seorang lelaki melakukan perbuatan yang sama lagi. Tahun lalu, Chua Min Sern, 42 tahun menyenaraikan telefon bijak Samsung Note 5 di wadah Carousell dengan harga $100 sebanyak tiga kali walaupun dia tidak mempunyai telefon untuk dijual. Dua mangsa memindahkan wang sebanyak $178 kepadanya sebelum membuat laporan polis lima hari kemudian. Pada Isnin (7 Feb), Chua dihukum empat bulan penjara selepas mengaku bersalah atas satu tuduhan menipu. Dua tuduhan penipuan lain dipertimbangkan bagi hukumannya. Satu melibatkan penipuan sebanyak $2,500 terhadap seorang wanita berkaitan kerja pembaikan rumah pada 2018. Mahkamah mendengar pada 11 April tahun lalu bahawa Chua tidak dapat dihubungi setelah mangsa memindahkan wang kepadanya. Seorang mangsa memindahkan $108 dan seorang lagi $70. Chua telah membayar semula wang mereka. Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Phoebe Tan memberitahu mahkamah bahawa Chua sebelum ini didakwa di atas kesalahan menipu pada Januari 2019. Dia dihukum penjara selama dua tahun dan tiga bulan. Beliau berkata kesalahan terbaru Chua yang melibatkan penipuan dalam talian menunjukkan dia mempunyai potensi menipu lebih ramai mangsa. Bagi setiap tuduhan menipu, dia boleh dipenjara 10 tahun dan didenda.