GENERASI Perintis dan Merdeka akan menerima sejumlah $255 juta sebagai tokokan kepada akaun Medisave mereka bulan depan.
Penambahan itu boleh digunakan untuk membayar premium insurans Medishield Life dan pelan insurans lain yang dilulus Medisave, selain membayar perbelanjaan perubatan seperti rawatan hospital, pembedahan harian dan rawatan pesakit luar, lapor The Straits Times.
Tokokan itu akan dikreditkan dalam akaun Medisave mereka bulan depan. Warga emas akan diberikan lebih banyak maklumat mengenai penambahan itu menerusi surat.
Dalam catatan Facebook pada Rabu (17 Jun), Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berkata tokokan tersebut sebagai tanda "mengucapkan terima kasih kepada Generasi Perintis dan Generasi
Merdeka atas sumbangan mereka kepada Singapura".
"Secara keseluruhan, kami telah menyediakan lebih $14 bilion untuk pakej ini untuk merangkumi sekitar satu juta warga emas sepanjang hayat mereka," kata Encik Heng.
Kenyataan bersama Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kesihatan (MOH) berkata jumlah tambahan bagi Generasi Perintis berjumlah $160 juta, manakala jumlah tambahan bagi Generasi Merdeka sekitar $95 juta.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg