WARGA Singapura Generasi Perintis dan Merdeka akan menerima tokokan Medisave antara $200 dengan $800 bulan depan.

Pemerintah akan membelanjakan sebanyak $270 juta bagi tokokan Medisave itu, kata Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kesihatan (MOH) menerusi satu kenyataan bersama hari ini (13 Jun).

Ini merupakan kali pertama golongan Generasi Merdeka - yang dilahirkan antara 1950 dengan 1959 - akan menerima tokokan Medisave mereka.

Pakej Generasi Merdeka yang diumumkan semasa Belanjawan tahun ini bertujuan menggalak warga emas kekal aktif selain memberi jaminan lebih tinggi bagi kos penjagaan kesihatan mereka.