Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tokokan MediSave $278j buat Generasi Perintis, Merdeka pada Julai

Anggota Generasi Perintis akan terima tokokan $250 hingga $900, manakala Generasi Merdeka akan terima $200
Jun 22, 2021 | 5:30 AM
- Foto fail
- Foto fail -

ANGGOTA Generasi Perintis (PG) dan Generasi Merdeka akan menerima tokokan MediSave bulan depan yang secara keseluruhannya berjumlah $278 juta.

Tahun ini, anggota PG akan menerima tokokan $250 hingga $900, manakala anggota MG akan menerima $200, kata Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan semalam.

"MediSave boleh digunakan untuk membayar premium bagi MediShield Hayat dan pelan insurans lain yang diluluskan MediSave, serta perbelanjaan perubatan seperti bil hospital, pembedahan hari, dan rawatan pesakit luar," menurut kenyataan itu.

Sekitar 450,000 anggota PG dan 500,000 anggota MG telah meraih manfaat daripada tokokan MediSave sebahagian daripada Pakej PG dan Pakej MG, sejak pakej masing-masing dilancarkan pada 2014 dan 2019.

Tokokan MediSave PG dan MG itu merupakan tambahan kepada tokokan Baucar GST - MediSave yang diberikan setiap tahun bagi warga Singapura berusia 65 tahun dan ke atas yang layak.

Bermula tahun ini, pemerintah akan memberikan tokokan MediSave yang lebih tinggi sebanyak $250 hingga $900 kepada semua anggota PG, berbanding $200 hingga $800 sebelum ini.

Anggota PG akan menerima tokokan tahunan itu sepanjang hayat mereka.

Secara tambahan, anggota PG berusia 82 tahun dan ke atas tahun ini yang mempunyai penyakit sedia ada yang serius akan menerima tokokan lagi sebanyak $50 hingga $200 setiap tahun dari tahun ini hingga 2025 untuk membantu mereka membayar premium MediShield Hayat yang lebih tinggi.

Ini diumumkan oleh MOH pada 21 Disember lalu "sebagai sebahagian komitmen kami untuk memastikan premium kekal dimampui bagi Perintis kami yang mengumpul kurang MediSave berbanding warga Singapura yang lebih muda", menurut kenyataan itu lagi.

Tokokan bagi anggota PG berjumlah $182 juta tahun ini.

Dengan peningkatan ini, Perintis berusia 87 dan ke atas tahun ini akan terus melihat premium MediShield Hayat mereka dibiayai sepenuhnya oleh MediSave.

Perintis yang lebih muda pula akan melihat sekitar dua pertiga daripada premium MediShield Hayat mereka dibiayai menerusi MediSave.

Dalam pada itu, warga emas MG pula akan menerima tokokan MediSave untuk tahun ketiga, sejak pakej tersebut diperkenalkan pada 2019.

Pakej itu bertujuan menggalakkan mereka untuk kekal aktif dan sihat, serta memberi jaminan kepada mereka dalam aspek kos penjagaan kesihatan dalam meniti usia senja.

Warga emas MG akan menerima tokokan MediSave sebanyak $200 setiap tahun dari 2019 hingga 2023.

Jumlah keseluruhan tokokan tahun ini ialah $96 juta.

Menjelang hujung bulan ini, perintis dan warga emas MG akan menerima surat mengenai butiran tokokan MediSave mereka tahun ini, yang akan diberikan pada bulan depan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai Pakej PG di laman www.pioneers.gov.sg, dan Pakej MG di www.merdekageneration.sg.

Warga emas juga boleh menghubungi talian 1800-2222-888 (mengenai Pakej PG dan MG); 1800-650-6060 (ehwal penjagaan kesihatan); atau kirimkan e-mel ke contactus@pioneers.gov.sg (Pakej PG) contactus@merdeka.gov.sg (Pakej MG) bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

TOKOKAN MEDISAVE

Berikut jumlah tokokan MediSave yang akan diterima anggota Generasi Perintis (PG) dan Generasi Merdeka (MG) bulan depan

GENERASI PERINTIS

  1. Lahir sebelum atau pada 1934 (usia 87 ke atas): $900 / $1,150 (berpenyakit serius)
  2. Lahir 1935 - 1939 (82-86 tahun): $700 / $750 (berpenyakit serius)
  3. Lahir 1940 - 1944 (77-81 tahun): $500
  4. Lahir 1945 - 1949 (72-76 tahun): $250

GENERASI MERDEKA $200

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg