Jadikan masa keluarga lebih istimewa dengan idea dan kegiatan berikut.
Siri televisyen muzikal kanak-kanak Yo Gabba Gabba! kini disiarkan di Apple TV+ dengan 10 episod mulai 9 Ogos.
Siri itu, yang bersiaran di Nickelodeon dari 2007 hingga 2015, memaparkan watak mainan lebah brokoli hijau bernama Brobee, bunga buih merah jambu bernama Foofa, makhluk asing merah bernama Muno, kucing-naga biru bernama Toodee dan robot kuning berwarna Plex.
Ia juga dikenali dengan selebriti budaya ‘indie’ yang sering dijemputnya.
Kini berjudul Yo Gabba GabbaLand!, musim baru siri itu menampilkan pemuzik dan band Amerika seperti Thundercat, The Drums dan The Interrupters.
Ikuti persembahan lagu yang berkaitan dengan tema setiap episod seperti kreativiti dan persahabatan.
Terdapat juga segmen penceritaan oleh pelakon Amerika seperti Sam Richardson dan Utkarsh Ambudkar.
Apakah mainan dan kegiatan yang sesuai untuk menyokong perkembangan anak-anak anda? Lovevery ada jawapannya. Rangkaian kit permainannya direka untuk bayi baru lahir dan kanak-kanak yang berumur hingga empat tahun.
Ditubuhkan di Amerika Syarikat, jenama itu bekerjasama dengan ahli akademik, penyelidik dan pengamal dalam pembelajaran awal kanak-kanak.
Satu kotak barang permainan yang disesuaikan dengan peringkat pertumbuhan anak anda akan dihantar ke rumah anda setiap dua hingga tiga bulan selepas langganan.
Setiap set juga disertakan dengan panduan bagi ibu bapa dan mencadangkan cara anda boleh menarik minat anak anda semasa mereka bermain.
Contohnya, kit untuk kanak-kanak berumur 43 hingga 45 bulan disertakan dengan set jubin nombor yang diilhamkan daripada Montessori.
Ibu bapa digalakkan menggunakan perkataan seperti “lebih, kurang, paling banyak, paling sedikit, pertama dan terakhir” untuk membangunkan kosa kata matematik anak-anak mereka.
Pelanggan Singapura boleh membeli-belah di laman lovevery.com.au dengan penghantaran percuma dari kemudahannya di Singapura.
Satu kit permainan untuk bayi bawah umur 12 bulan berharga A$130 ($113) dan satu kit untuk kanak-kanak berumur satu hingga empat tahun berharga A$195.
Sekolah pengekodan tempatan The Lab telah mengeluarkan siri buku kegiatan pertamanya.
Disyorkan untuk kanak-kanak berumur lima hingga tujuh tahun, ‘Maths And Coding Adventures For Young Explorers’ mengandungi latihan menyeronokkan yang memperkenalkan konsep pengekodan dengan menyepadukan kemahiran matematik.
Sebagai contoh, sedang anak-anak anda belajar mengenal pasti urutan nombor, mereka juga akan memahami bahawa ia adalah kemahiran penting dalam pengekodan. Ini kerana tugas pengaturcaraan selalunya melibatkan data bercorak (patterned data).
Diterbitkan oleh Educational Publishing House, buku itu dijual pada harga $9.90 setiap satu dan boleh didapati di Popular Bookstore.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg