TRAFIK di pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas sesak sejak bermulanya cuti sekolah Jun, dengan bilangan orang yang melaluinya pada hujung minggu lalu naik 267,000 orang setiap hari berbanding 262,000 orang pada hujung minggu sebelum itu.

Trafik sesak dijangka berterusan sepanjang Jun dan orang ramai boleh menjangkakan masa tunggu lebih lama dalam tempoh ini, kata Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) pada Rabu (15 Jun).

ICA menasihatkan orang ramai supaya mengambil kira masa tambahan bagi pemeriksaan imigresen dan elak waktu sibuk.

Bagi mereka yang melakukan perjalanan dari Singapura ke Malaysia, waktu sibuk bagi Jun ialah dari 6 petang hingga 11.59 malam pada Jumaat; 6 pagi hingga 9 pagi dan 9 malam hingga 11.59 malam pada Sabtu; dan 6 pagi hingga 8 pagi pada Ahad.

Bagi mereka yang tiba di Singapura, waktu sibuk pada hari bekerja sehingga 24 Jun ialah dari 10 malam hingga 11.59 malam.

Pada Sabtu dalam bulan Jun pula, waktu sibuk ialah dari 9 malam hingga 11.59 malam; sementara pada Ahad, waktu sibuk ialah 6 petang hingga 11.59 malam.

ICA menambah bahawa mereka yang keluar dari Singapura melalui pusat pemeriksaan Woodlands perlu menyedari bahawa jabatan imigresen Malaysia sedang menaik taraf reruai imigresen ketibaan kereta sejak 6 Jun lalu.

Dalam tempoh ini, reruai yang sedang menjalani peningkatan tidak akan beroperasi. - The Straits Times