Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tubuh syarikat penjagaan diri bagi kaum Adam dek permintaan tinggi

Jul 3, 2023 | 5:30 AM
KHUSUS BAGI KAUM ADAM: Encik Erwin Mahdar memulakan syarikat khidmat rawatan spa, Daddy’s Care Spa for Men, yang merangkumi khidmat rawatan urut badan, wajah dan kepala serta pengelupasan badan.
KHUSUS BAGI KAUM ADAM: Encik Erwin Mahdar memulakan syarikat khidmat rawatan spa, Daddy’s Care Spa for Men, yang merangkumi khidmat rawatan urut badan, wajah dan kepala serta pengelupasan badan. - Foto ihsan ERWIN MAHDAR

Setelah sekian lama membantu kakaknya dalam menguruskan khidmat urut dan spa di pusat Spa Madinah yang terletak di Icon@Changi, Encik Erwin Mahdar menyedari bahawa terdapat pasaran bagi khidmat penjagaan diri bagi kaum Adam. 

Menurutnya, mereka sering mendapat permintaan yang agak tinggi daripada ramai lelaki yang mahu mendapatkan rawatan seperti membersihkan muka mereka agar mereka dapat tampil lebih kemas dan rapi.

Daripada situ, beliau telah mendapat idea menubuhkan khidmat spa sendiri khusus bagi golongan lelaki.

“Kakak saya memulakan perniagaan khidmat spa secara kecil-kecilan dan pada waktu itu hanya beri tumpuan kepada pelanggan wanita.

“Namun lama-kelamaan, perniagaan itu mula berkembang dan beliau mula menawarkan khidmat urut bagi pasangan suami isteri.

“Jadi daripada situlah, saya mula terlibat dalam bidang ini dan akan bantu mengurut pelanggan lelaki.

“Penglibatan saya membantu mengendalikan spa milik kakak saya itu telah menyedarkan saya bahawa terdapat peluang perniagaan yang boleh dimulakan,” kata beliau. 

Selepas bertahun-tahun berfikir panjang, akhirnya beliau mengambil keputusan memulakan perniagaan sendiri.

Sebagai permulaan, memandangkan Encik Erwin, 40 tahun, hanya melakukannya secara sambilan, beliau mengambil keputusan menggunakan sebahagian ruang tamunya untuk dijadikan bilik rawatan rambut dan kulit kepala serta spa wajah.

Khidmatnya kemudian dikembangkan menawarkan khidmat urut, yang dilakukan di pusat spa milik kakaknya.

Sejak memulakan ‘Daddy’s Care Spa for Men’ – yang merupakan syarikat subsidiari Spa Madinah – sekitar sebulan lalu, Encik Erwin berkata beliau agak terkejut dengan sambutan yang diterimanya.  

Beliau tidak menyangka bahawa dalam masa kurang sebulan, beliau telah menerima banyak tempahan. 

Encik Erwin yang mempunyai kerja sepenuh masa sebagai juruaudit di syarikat berbilang negara (MNC) berkata hampir setiap hari beliau akan menerima klien bagi rawatan spa yang ditawarkannya. 

Selain rawatan urut badan, wajah dan kepala, beliau juga menawarkan khidmat rawatan pengelupasan badan atau ‘body exfoliation treatment’.

Sehingga hari ini, beliau mempunyai sekitar 100 klien, termasuk klien tetap. 

“Memang saya tidak sangka sambutan yang amat menggalakkan ini walaupun baru juga saya mulakan. 

“Ada juga yang merupakan pelanggan berulang dan saya amat berterima kasih atas sokongan ini,” kongsi beliau yang mempunyai pensijilan profesional dalam bidang terapi urut dan urut seluruh badan yang diperoleh dari sebuah akademi setempat di bawah daya usaha SkillsFuture Singapura (SSG).

Melihat pada bilangan pelanggannya yang semakin bertambah, Encik Erwin, akur bahawa trend mendapatkan khidmat penjagaan diri khusus buat golongan lelaki kian meningkat.

Dengan permintaan yang tinggi ini, ramai turut mengambil kesempatan menawarkan pelbagai khidmat urut tradisional mahupun sukan, tambahnya.

“Tidak seperti dahulu, kaum lelaki kini tidak teragak-agak berbelanja bagi mendapatkan khidmat rawatan yang baik dan berkesan. 

“Kita tinggal dalam persekitaran yang agak pantas dan ini merupakan antara cara mereka dapat relaks,” ujarnya.

“Kakak saya memulakan perniagaan khidmat spa secara kecil-kecilan dan pada waktu itu hanya beri tumpuan kepada pelanggan wanita. Namun lama-kelamaan, perniagaan itu mula berkembang dan beliau mula menawarkan khidmat urut bagi pasangan suami isteri. Jadi daripada situlah, saya mula terlibat dalam bidang ini dan akan bantu mengurut pelanggan lelaki. Penglibatan saya membantu mengendalikan spa milik kakak saya itu telah menyedarkan saya bahawa terdapat peluang perniagaan yang boleh dimulakan.”
Encik Erwin Mahdar.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg