TUDUHAN membunuh isterinya yang dihadapi oleh seorang lelaki dikurangkan kepada menyebabkan kecederaan teruk secara sengaja semalam.
Cui Huan, seorang warga China yang kini berusia 25 tahun, dituduh menolak Cik Liang Xueqiu, 26 tahun, ke lantai dan kemudian memukulnya berterusan di kepala dan leher, menyebabkan kematiannya.
Dokumen mahkamah tidak mendedahkan perincian kecederaan dan punca kematian mangsa.
Cui dikatakan melakukan kesalahan itu di laluan jalan kaki dekat Blok 211 Boon Lay Place sekitar 6.30 petang 27 Ogos tahun lalu.
Bagi pembunuhan, pesalah menghadapi hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat.
Jika sabit kesalahan bagi tuduhan yang dikurangkan itu, Cui boleh dipenjara hingga 10 tahun dan didenda atau disebat.
Polis sebelum ini berkata mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu sekitar 6.30 petang pada 27 Oktober.
Pegawai polis mendapati Cik Liang cedera dan terlantar serta tidak bergerak di tempat kejadian.
Beliau dibawa ke Hospital Besar Ng Teng Fong dalam keadaan tidak sedar dan disahkan meninggal dunia sekitar 10 malam itu.
Pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah (CID ) dan Divisyen Polis Jurong menangkap Cui dalam tiga jam selepas laporan dibuat.
Semalam, mahkamah mendengar bahawa Cui dijangka mengaku bersalah bulan depan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg