Topic followed successfully
Go to BHkuTudung tanpa corak, warna biru gelap, hitam atau putih bagi jururawat NHG
Tudung tanpa corak, warna biru gelap, hitam atau putih bagi jururawat NHG
Tudung tanpa corak, warna biru gelap, hitam atau putih bagi jururawat NHG
JURURAWAT Muslimah di bawah naungan National Healthcare Group (NHG) dibolehkan memakai tudung dalam tiga warna - biru gelap, hitam atau putih - yang tidak bercorak dan diperbuat daripada kain yang tidak mengganggu pemakaian pelitup secara selamat semasa bertugas.
Panduan seragam bagi jururawat yang bertudung itu didedahkan NHG kepada Berita Harian dalam satu kenyataan semalam.
Ia merupakan antara pengendali khidmat penjagaan kesihatan awam yang pertama untuk mengumumkan garis panduan tersebut.
Antara hospital awam yang bernaung di bawah NHG termasuk Hospital Tan Tock Seng (TTSH), Hospital Khoo Teck Puat (KTPH), dan Hospital Masyarakat Yishun.
Dalam kenyataannya NHG berkata kakitangan boleh memakai tudung mulai 1 November, namun perlu mematuhi dasar klinikal dan seragam sedia ada seperti amalan kawalan jangkitan yang baik serta memastikan seragam mereka konsisten dan rapi.
"Kakitangan boleh memakai tudung hitam, biru gelap atau putih yang tidak bercorak, dan ini berdasarkan maklum balas yang diterima daripada kakitangan berkaitan pilihan mereka.
"Secara amnya, kain tudung perlu sesuai untuk kakitangan terus menjalankan tugas dengan sempurna, ia tidak boleh mengganggu pemakaian pelitup bedah atau N95 secara selamat," katanya.
Antara kain tudung yang disebut termasuk kain ringan dan 'dri-fit' bagi kakitangan yang bekerja di tempat tidak berhawa dingin.
Apabila pelitup N95 dipakai dengan tudung, semua kakitangan perlu menyesuaikan semula pemakaian pelitup tersebut tanpa menggunakan alat tambahan seperti 'mask extenders' demi memastikan pelitup dapat digunakan dengan betul, menurut NHG.
Tambahnya, mereka yang bekerja di kawasan yang berisiko tinggi juga perlu mematuhi panduan kawalan jangkitan tertentu apabila memakai tudung.
Ia menambah: "NHG komited menjaga perpaduan sosial dan persefahaman antara satu sama lain di kalangan kakitangan kami."
Berita Harian juga telah menghubungi pengendali khidmat penjagaan kesihatan lain tetapi mereka belum memberi respons hingga akhbar ini dicetak semalam.
"Kakitangan boleh memakai tudung hitam, biru gelap atau putih yang tidak bercorak, dan ini berdasarkan maklum balas yang diterima daripada kakitangan berkaitan pilihan mereka. Secara amnya, kain tudung perlu sesuai untuk kakitangan terus menjalankan tugas dengan sempurna, ia tidak boleh mengganggu pemakaian pelitup bedah atau N95 secara selamat. NHG komited untuk menjaga perpaduan sosial dan persefahaman antara satu sama lain di kalangan kakitangan kami." - Kenyataan National Healthcare Group (NHG).
