DARIPADA menepuk-nepuk sarung bantal dalam bilik hotel hingga melihat-lihat ke dalam longkang bagi memastikan tiada sebarang peranti berbahaya dan ia semua selamat.
Itulah antara tugas pegawai Komand Keselamatan Polis (SecCom) sebelum sesuatu acara besar, seperti Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP), Dialog Shangri-La dan sambutan Hari Pekerja.
Pegawai Pemerintah Unit Kader Penggeledahan SecCom, Timbalan Superintendan Polis (DSP) Winston Yim, berkata mereka mencari peranti letupan dan ancaman keselamatan lain yang mungkin membahayakan tetamu dan peserta lain.
Menurut beliau, peranan SecCom ialah memastikan keselamatan orang kenamaan atau sangat penting (VVIP) tempatan dan asing.
Semasa operasi ini, antara kawasan paling berbahaya dan mencabar yang perlu diperiksa pegawai SecCom ialah kemudahan bawah tanah.
Kemudahan bawah tanah terdiri daripada longkang air hujan, terowong kabel telekomunikasi dan sistem kumbahan, iaitu tempat pegawai akan berdepan risiko terdedah kepada bahan pencemar atau gas berbahaya yang telah lama terkumpul, atau serangan tikus.
Mereka juga berdepan cabaran dalam melaksana operasi pencarian di kawasan tinggi, seperti bumbung dan saluran penghawa dingin dan menghadapi risiko jatuh dari tepat tinggi.
Lantaran keadaan kerja berbahaya dan mencabar ini, SecCom mula mengerahkan robot - Kenderaan Kawalan Jauh (RCV) dan Kenderaan Udara Tanpa Pemandu (UAV) - untuk membantu dalam melaksana operasi pencarian sejak 2019.
Ia dilengkapi dengan teknologi terkini seperti kamera pengawasan dan kenderaan tanpa pemandu yang digunakan untuk meningkatkan kecekapan kerja sambil memastikan keselamatan pegawai.
Dengan kerjasama Agensi Sains dan Teknologi Home Team (HTX) untuk memanfaatkan teknologi melalui penggunaan prototaip RCV, SecCom telah membuat penambahbaikan berterusan bagi membuat penyesuaian dengan cabaran alam sekitar tanpa menghalang objektif misinya.
DSP Yim berkasta SecCom akan terus berinovasi untuk menangani sebarang halangan yang mungkin datang.
"Kami akan terus meneroka cara meningkatkan kecekapan dan mengubah keupayaan kami demi mencapai misi untuk memastikan keselamatan mereka serta pegawai kami," ujar beliau.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg