Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tugu Pengasas mula dibina, bakal siap 2028

SM Lee: Tugu imbas peranan pemimpin pengasas negara ‘atasi cabaran bagi bina S’pura yang kukuh, bersatu’
Jun 5, 2024 | 1:37 PM
Menteri Kanan Encik Lee Hsien Loong (tiga dari kiri), bersama  Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee (kiri) dan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong (dua dari kiri) diberi taklimat tentang pembinaan Tugu Pengasas.
Menteri Kanan Encik Lee Hsien Loong (tiga dari kiri), bersama Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee (kiri) dan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong (dua dari kiri) diberi taklimat tentang pembinaan Tugu Pengasas. - Foto ST

Kerja pembinaan Tugu Pengasas, yang akan dibina bagi memperingati jasa perintis Singapura dan nilai yang mereka paparkan, telah dirasmikan di Taman Bay East di Taman Di Pesisiran pada 5 Jun.

Dijadualkan siap pada 2028, tugu tersebut akan menawarkan para pengunjung “pengalaman galeri dan taman bersepadu”, kata Lembaga Warisan Negara (NHB).

Menteri Kanan Encik Lee Hsien Loong, yang merasmikan upacara pecah tanah pada 5 Jun, berkata tugu tersebut akan menceritakan bagaimana para pemimpin pengasas negara “mengatasi cabaran untuk membina Singapura yang kukuh, bersatu dan merdeka”.

Beliau menambah ia juga akan menceritakan “bagaimana mereka memimpin rakyat Singapura setelah melalui pertempuran berturut-turut”.

“Pertama menentang penjajahan, kemudian komunisme dan akhirnya komunalisme; dan bagaimana mereka kemudiannya membina sebuah negara berdasarkan nilai dan cita-cita yang terkandung dalam ikrar itu, memacu kita dalam perjalanan yang membawa kepada Singapura yang kita lihat hari ini,” kata Encik Lee.

Turut hadir semasa majlis tersebut ialah Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong; dan Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.

Ia juga dihadiri pengerusi bersama Jawatankuasa Tugu Pengasas, Encik Lee Tzu Yang dan Profesor Tan Tai Yong, serta wakil masyarakat termasuk pelajar, sukarelawan dan penderma.

Tugu tersebut akan merangkumi dua bangunan dua tingkat, dan akan dihubungkan dengan ruang bawah tanah yang sama.

Ia juga akan menyediakan sebuah galeri tontonan, galeri pameran dan bilik serbaguna untuk mengadakan bengkel dan program.

NHB berkata pelbagai laluan akan dibina dari tugu tersebut ke kawasan Taman Bay East yang lain, dengan tugu itu sendiri direka untuk menggambarkan laluan.

Ini, menurut NHB, mencerminkan perjalanan pembinaan negara yang dilalui oleh generasi pengasas Singapura dan pemimpinnya.

(Dari kiri) Pengerusi bersama Jawatankuasa Tugu Pengasas, Profesor Tan Tai Yong; pemimpin belia, Cik Parvynpal Kaur Hari Singh; Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong; relawan, Cik Tan Shi Ying; Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong; pelajar Arsa Muhammad Naufal; Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee; pelajar, Alyah Shadrina Mohammad Taufik; dan pengerusi bersama Jawatankuasa Tugu Pengasas, Encik Lee Tzu Yang.
(Dari kiri) Pengerusi bersama Jawatankuasa Tugu Pengasas, Profesor Tan Tai Yong; pemimpin belia, Cik Parvynpal Kaur Hari Singh; Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong; relawan, Cik Tan Shi Ying; Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong; pelajar Arsa Muhammad Naufal; Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee; pelajar, Alyah Shadrina Mohammad Taufik; dan pengerusi bersama Jawatankuasa Tugu Pengasas, Encik Lee Tzu Yang. - Foto ST

Tarikh upacara pecah tanah itu juga mempunyai makna yang penting kerana pada 5 Jun 1959 juga, Kabinet pertama Singapura yang mentadbirkan negara sendiri telah mengangkat sumpah memegang jawatan.

Mereka yang menyertai upacara pecah tanah itu turut menanam anak pokok yang dicantumkan daripada pokok yang ditanam oleh pemimpin Singapura pada tahun-tahun awal perjalanan penghijauan negara.

Spesies yang ditanam termasuk yellow flame (Peltophorum pterocarpum), spesies asli yang ditanam oleh Perdana Menteri pengasas, Encik Lee Kuan Yew, pada 1971 di Kelab Masyarakat Tanjong Pagar.

Spesies lain yang ditanam termasuk sea grape (Coccoloba uvifera) atau pokok buah anggur laut, yang ditanam oleh Dr Goh Keng Swee pada 1975 di Taman Labrador; dan sea apple (Syzygium grande) atau jambu laut, yang ditanam oleh Encik S. Rajaratnam pada 1980 di Blok 12 North Bridge Road.

NHB berkata, anak pokok yang ditanam pada 5 Jun akan dipaparkan di Tugu Pengasas pada masa hadapan.

Ia menambah tugu tersebut “bertujuan memberi inspirasi kepada rakyat Singapura untuk memberi komitmen mereka ke arah masa depan yang lebih baik, kerana ia akan berfungsi sebagai ruang untuk memaparkan semangat negara kita dan menyatukan rakyat Singapura”.

Encik Lee berkata pasukan projek tugu tersebut “sedang menyediakan pemasangan khas untuk memperingati generasi pengasas”.

“Melalui kata-kata dan usaha mereka, tugu tersebut akan menghidupkan nilai dan cita-cita yang ditonjolkan, diperjuang dan diterapkan oleh perintis kita kepada rakyat Singapura,” kata Encik Lee.

Tugu Pengasas, yang pertama kali dicadangkan pada 2015 susulan kematian Encik Lee Kuan Yew, sebelum ini dijadualkan siap pada 2027.

Namun, pembinaannya tertangguh akibat pandemik Covid-19, dan kini dijangka siap pada 2028.

Reka bentuknya oleh firma seni bina Jepun, Kengo Kuma & Associates, yang bekerjasama dengan firma Singapura K2LD Architects, diumumkan pada Mac 2020 berikutan pertandingan antarabangsa yang dilancarkan pada Januari 2019.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg