SELEPAS tiga tahun menjadi suri rumah untuk menjaga anak-anaknya yang kecil, Cik Salbiah Ramli memutuskan untuk kembali ke alam pekerjaan.
Dengan keinginan mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang stabil dan pada masa sama, tetap mempunyai masa untuk anak-anaknya, Cik Salbiah bekerja sambilan sebagai guru di pusat penjagaan kanak-kanak Cherry Kidz Montessori Childcare.
Namun, interaksi beliau bersama kanak-kanak setiap hari membuat dirinya sedar bahawa beliau mahu melakukan lebih banyak lagi sebagai guru.
"Saya rasa amat puas hati apabila kanak-kanak berjaya memahami konsep yang diajar melalui pelbagai kaedah pembelajaran yang saya cuba.
"Wajah mereka yang bercahaya apabila mereka boleh membaca atau mengira membuat saya gembira. Saya rasakan satu pencapaian apabila dapat membantu kanak-kanak yang menghadapi cabaran mengecapi kejayaan," kata beliau yang sebelum ini bekerja sebagai pegawai sokongan pengurusan.
Dengan itu, Cik Salbiah, 39 tahun, mula mencari program latihan supaya dapat membina kemahiran lebih mendalam dalam sektor pendidikan awal kanak-kanak.
Beliau kemudian menemui Program Penukaran Kerjaya (CCP) bagi Guru Prasekolah oleh Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) dan mendaftar bagi program itu pada April 2018.
Melalui program latihan itu, Cik Salbiah meraih pelbagai ilmu dan kemahiran baru.
"Terdapat banyak benda untuk dipelajari dalam industri ini berkaitan kanak-kanak - pengurusan tingkah laku, keperluan akademik, keperluan emosi seperti memuji mereka, memperbetulkan kelakuan mereka, memberi perhatian, mempelajari kemahiran pemerhatian semasa menyampaikan pembelajaran dan sebagainya," kata beliau.
Beliau juga mempelajari kepentingan bagi masyarakat sekolah menghargai dan menyokong setiap guru terutamanya dalam keperluan latihan mereka.
Selepas setahun menjalani program latihan itu sambil bekerja, Cik Salbiah berjaya memperolehi Diploma Profesional WSQ dalam Penjagaan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak.
Hari ini, beliau seorang guru kanan di pusat penjagaan kanak-kanak sama yang menjaga dan mendidik 18 kanak-kanak, termasuk yang mempunyai keperluan khas.
Beliau mengajar mata pelajaran seperti bahasa dan celik huruf, celik angka, pendidikan moral dan kesihatan, dan kemahiran motor.
Cik Salbiah berkata beliau juga mempunyai rutin untuk kanak-kanak di sekolah supaya ia menjadi satu tabiat dan mereka secara automatik tahu apa yang perlu dilakukan.
"Dengan itu, kelas boleh dikendalikan dengan lebih baik dan kami mempunyai kepercayaan terhadap mereka bahawa mereka tahu apa yang harus dilakukan.
"Kami memberi mereka kemahiran berdikari untuk berfikir dan berkelakuan sewajarnya," kata beliau.
Selain tugasnya sebagai guru, Cik Salbiah berkongsi pengetahuan dan memberikan sokongan kepada guru lain apabila mereka memerlukan saranan dan idea, mengetengahkan isu mengenai pengurusan kelas atau masalah kelakuan yang dihadapi.
Meskipun terdapat cabaran dalam bekerja sebagai guru, Cik Salbiah berasa amat puas hati dan gembira apabila anak muridnya dapat membaca, mengira, menunjukkan kebaikan dan keprihatinan kepada kanak-kanak lain, terutamanya kanak-kanak keperluan khas.
Anak muridnya juga sayang kepada beliau, dengan Cik Salbiah menerima kad dan surat serta hadiah seperti kek, biskut dan bunga yang dipetik anak muridnya semasa kegiatan di luar kelas.
Cik Salbiah kini bercita-cita menjadi seorang pengetua pusat penjagaan kanak-kanak dan telah mengambil kursus kepimpinan di Institut Pembangunan Awal Kanak-Kanak Nasional (NIEC).
Bagi mereka yang berminat menukar kerjaya ke sektor pendidikan awal kanak-kanak, beliau menggalak mereka menyertai sektor itu jika mempunyai minat, kesabaran dan keprihatinan untuk kanak-kanak.
"Kadangkala, apabila tugas atau jangkaannya menjadi terlalu berat, terutamanya dalam situasi Covid-19 ini, saya akan beritahu diri saya untuk terus berpegang teguh pada tujuan saya menyertai bidang ini - iaitu untuk mendidik generasi masa depan kita dari segi akademik dan moral," kata beliau.
"Saya rasa amat puas hati apabila kanak-kanak berjaya memahami konsep yang diajar melalui pelbagai kaedah pembelajaran yang saya cuba. Wajah mereka yang bercahaya apabila mereka boleh membaca atau mengira membuat saya gembira. Saya rasakan satu pencapaian apabila dapat membantu kanak-kanak yang menghadapi cabaran mengecapi kejayaan." - Cik Salbiah Ramli, guru kanan di pusat penjagaan kanak-kanak Cherry Kidz Montessori Childcare.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg