Topik diikuti
Pergi ke BHkuTumbang pokok secara haram di Kranji: 2 pegawai JTC antara 3 didakwa di mahkamah
Tumbang pokok secara haram di Kranji: 2 pegawai JTC antara 3 didakwa di mahkamah
DUA pegawai JTC Corporation merupakan antara tiga individu yang didakwa di mahkamah hari ini (22 April) atas kesalahan menyebabkan pokok ditumbang secara haram di sebuah kawasan tumbuhan pepohon di Kranji.
Chong Pui Chih, 46 tahun, dan Neo Jek Lin, 44 tahun, dikenakan tiga tuduhan di bawah Akta Pokok dan Taman. Neo juga dikenakan satu lagi tuduhan di bawah Akta Hidupan Liar.
Chong berjawatan timbalan pengarah di JTC manakala anak buahnya, Neo, adalah pengurus kanan projek semasa kesalahan itu dilakukan pada 2020 dan 2021.
Individu ketiga yang didakwa adalah Tan See Chee, 63 tahun, seorang pegawai superintenden bagi mengendali kontrak di syarikat CPG Consultants pada masa itu.
Seorang lagi individu - yang ke-empat - Jimmy Liu Wing Tim, 62 tahun, dijangka menghadapi tuduhan pada satu tarikh lain kerana keadaannya yang tidak sihat untuk hadir di mahkamah tadi.
Dia merupakan seorang wakil pegawai superintenden di CPG Consultants.
Chong, Neo dan Tan didakwa bersubahat antara satu sama lain dan bersama Liu untuk menyebabkan syarikat kontraktor, Huationg Contractor, menumbang pokok tanpa kelulusan Pesuruhjaya Taman dan Rekreasi.
Pada suatu ketika sebelum 13 Januari 2021, Hautiong Contractor didakwa menumbang pokok di beberapa plot tanah di Taman Inovasi Kranji Agri-Food.