Topik diikuti
Pergi ke BHkuTunggang e-skuter secara haram: Warga emas dijel cederakan pegawai LTA
Tunggang e-skuter secara haram: Warga emas dijel cederakan pegawai LTA
Tunggang e-skuter secara haram: Warga emas dijel cederakan pegawai LTA
SEORANG lelaki warga emas telah menunggang e-skuternya secara haram di jalan raya dan disuruh berhenti oleh seorang pegawai penguat kuasa Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Namun, Wong Chong Weng, kini 71 tahun, cuba melarikan diri dengan menunggang e-skuternya melawan arus trafik.
Bagaimanapun, hendal e-skuternya terlanggar salah seorang pegawai itu dan menyebabkan dadanya lebam.
Wong dikenakan hukuman penjara tiga minggu dan didenda $1,400 kelmarin.
Dia mengaku bersalah atas setiap satu tuduhan melakukan tindakan terburu-buru dan membahayakan keselamatan awam, gagal menghentikan e-skuter apabila disuruh pegawai dan menunggang kenderaan tersebut di jalan raya.
Penunggang e-skuter hanya boleh menunggang di laluan basikal.
Mahkamah diberitahu Wong telah menunggang e-skuternya di lorong kiri Sembawang Drive pada 29 Oktober 2019, sekitar 4 petang apabila pegawai penguat kuasa yang bertugas, Encik Muhammad Firhan Abdul Kadir, menyuruhnya berhenti.
Wong tidak mematuhi arahan itu lalu Encik Firhan memaklumkan kepada beberapa pegawai polis berdekatan dan apabila Wong melihat mereka mendekatinya, beliau membuat pusingan U dan melawan arus trafik untuk melarikan diri.
Dalam usahanya itu, hendal e-skuternya terlanggar dada Encik Firhan yang menyebabkan lebam. Beliau dihantar ke Hospital Khoo Teck Puat untuk dirawat.
Bagi kesalahan menunggang e-skuter di jalan raya, pesalah kali pertama boleh dipenjara hingga tiga bulan dan didenda hingga $2,000.
Pesalah berulang boleh dipenjara hingga enam bulan dan didenda hingga $5,000.
