LONDON: Liga Perdana England (EPL) masuk minggu ketiga dengan perlawanan antara Manchester United dengan Liverpool awal pagi Selasa depan pasti mendapat perhatian semua peminat di serata dunia.
Namun perlawanan lain juga tidak kurang hebatnya.
Tottenham Hotspur, yang menang perlawanan pertama sebelum seri dengan Chelsea, bakal menerima kunjungan Wolverhampton Wanderers di Stadium Tottenham Hotspur, malam ini.
Namun Spurs akan ketiadaan pengurus penuh inspirasi mereka, Antonio Conte, selepas bos pasukan itu dilayang kad merah menyusuli konfrontasi dengan pengurus Chelsea, Thomas Tuchel, minggu lalu.
Conte dan Tuchel - yang turut menerima kad merah - telah didakwa kerana insiden memalukan itu.
Sementara itu Wolves pula akan berusaha gigih untuk memenangi perlawanan selepas kalah perlawanan pertama dan seri dalam permainan kedua mereka.
Everton yang hampir tersingkir dari EPL musim lalu pula bakal berdepan dengan pasukan yang baru naik, Nottingham Forest.
Selepas tewas dalam dua perlawanan pembukaannya, Everton pastinya masih mengelak nasib serupa apabila berdepan dengan pasukan yang baru naik itu.
Namun mereka sedar laluan tidak semudah dijangka memandangkan Forest - walaupun tewas dalam perlawanan pembukaan telah menewaskan West Ham United minggu lalu.
Bagi Crystal Palace yang seri dengan Liverpool di Anfield minggu lalu, sudah pasti keputusan tersebut memberi perangsang kepada mereka untuk berikan persembahan terbaik dalam perlawanan mereka menentang Aston Villa.
Villa pula akan cuba mengulangi kejayaan mereka di Stadium Selhurst Park (Crystal Palace) untuk perlawanan malam esok.
Pasukan yang menundukkan United minggu lalu, Brentford, bakal berentap dengan Fulham di padang lawan.
Dalam perlawanan pertama, Brentford seri dengan Leicester City tapi membaham United dengan keputusan 4-0 di padang sendiri.
Fulham pula hanya mampu seri dengan Liverpool dalam perlawanan pembukaan dan Wolves minggu lalu.
Arsenal yang merupakan antara pasukan favorit, bakal berhadapan dengan Bournemouth, hari ini.
Meskipun begitu, Arsenal yang dipimpin oleh Mikel Arteta, perlu berhati-hati bertandang di padang lawan selepas Bournemouth menundukkan Aston Villa 2-0 di Stadium Vitality.
Esok pula Leeds bakal berhadapan dengan satu lagi pasukan kuat, Chelsea.
Chelsea yang akan ketiadaan pengurus mereka, Thomas Tuchel, akibat dilayang kad merah minggu lalu, bakal bertandang ke padang lawan.
Sekiranya Leeds mampu menang, ini merupakan kemenangan pertama mereka ke atas Chelsea dalam EPL sejak 2002.
Satu lagi perlawanan pula akan menyaksikan West Ham bertemu Brighton & Hove Albion.
Sejauh ini West Ham yang dipimpin David Moyes, belum memenangi satu pun daripada 10 perlawanan menentang Brighton.
Brighton pimpinan Graham Potter pula sebelum ini mengejutkan United 1-2 di padang lawan sebelum seri 0-0 dengan Newscastle di padang sendiri.
Satu lagi perlawanan yang dinanti-nantikan esok adalah antara Newscastle dengan juara bertahan, Manchester City.
City, yang disebut-sebut turut menjadi favorit bagi kejuaraan EPL musim ini, pasti mahu meneruskan momentum kemenangan awal musim baru ini. - Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg